PADANG BESAR: Polis menahan seorang wanita disyaki terbabit dalam kejadian melarikan tabung derma masjid di Padang Pauh, di sini pada 28 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, penahanan suspek berusia 28 tahun dilakukan pada 29 Ogos lalu, di kediaman wanita berkenaan di Arau sekitar jam 9.15 malam.
"Kecurian tabung masjid berkenaan dilaporkan jam 9.15 malam pada 28 Ogos lalu, selepas ahli kariah masjid yang selesai bersolat Isyak mendapati satu tabung kayu yang diletakkan di tepi pintu masjid sudah tiada dan terus memaklumkan pada ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan.
"Pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang individu disyaki wanita mengambil dan membawa pergi tabung berkenaan.
Anda Mungkin Berminat Dengan Artikel Ini :
"Susulan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Beseri pada jam 12.36 tengah malam 29 Ogos lalu," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Katanya, siasatan dan risikan dijalankan polis berjaya mengenalpasti suspek.
"Hasil risikan dan maklumat orang ramai, suspek berusia 28 tahun berjaya dikesan dan ditahan di rumahnya di Arau pada 29 Ogos lalu sekitar jam 9.15 malam.
"Malah, siasatan kita juga menjumpai tabung masjid yang dicuri di dalam tandas di Pasar Beseri," katanya.
Beliau berkata, suspek mengaku mencuri tabung masjid dan menggunakan wang berkenaan untuk mengisi minyak motosikal, membeli makanan dan menambah nilai telefon bimbit.
"Kita juga mendapati suspek pergi ke masjid berkenaan pada jam 7 malam sebelum itu untuk mengambil barangan makanan dari ruangan 'food bank' masjid berkenaan.
"Suspek datang kembali untuk mencuri tabung masjid ketika jemaah sedang solat Isyak," katanya.
Suspek direman sehingga esok dan ujian saringan air kencingnya juga turut didapati positif dadah jenis syabu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sumber : Bharian
0 Ulasan