Negeri Sembilan terus hambat Sarawak

 (Gambar kanan) PEMAIN Negeri Sembilan, Francis Kone (jersi merah) cuba melepasi kawalan pemain Kuching City pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sebentar tadi. - Foto NSFC.

PASIR GUDANG: Negeri Sembilan FC terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana, Sarawak United selepas menewaskan Kuching City FC 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini petang tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan K Devan mengutip 35 mata menerusi 18 perlawanan, merapatkan jurang kepada dua mata di belakang Sarawak United yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Negeri Sembilan mempamer aksi garang sebaik sepak mula dan berjaya mendapatkan gol pembukaan pada minit kelima hasil jaringan Kouassi Kone.

Kone tidak mensia-siakan sepakan sudut diambil Zaquan Adha Abd Radzak dengan melakukan tandukan padu menewaskan penjaga gawang Wan Muhammad Azraie Wan Teh.


Anda Mungkin Berminat Dengan Artikel Ini :


Tuan rumah cuba bangkit dengan mengatur serangan bertali arus ke arah gawang lawan menerusi percubaan Michael Ijezie dan Mazwandi Zekeria namun gagal melakukan sentuhan pemusnah untuk menjaringkan gol penyamaan.

Bersambung babak kedua, skuad Irfan Bakti tidak mengambil masa yang lama untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-47 hasil jaringan Ijezie yang memanfaatkan umpanan Kalang Tie bagi menewaskan penjaga gol, Damien Chien.

Ijezie hampir menggandakan jaringan buat skuad The Cats menerusi sepakan percuma pada minit ke-55 namun Damien menumbuk bola keluar manakala percubaan susulan Irwan Syazmin Wahab jauh tersasar.

Skuad Hobin Jang Hobin sekali lagi di hadapan hasil gerakan cantik 'set piece' yang diambil pada minit ke-69.

Gerakan bermula apabila Bae Beom Geun yang melakukan 'dummy' dan Zaquan Adha melorongkan bola kepada Aroon Kumar Ramaloo yang membuat hantaran lintang mencari Arthur Cunha yang menanduk masuk untuk gol kemenangan pelawat.

     Sumber : Bharian

Catat Ulasan

0 Ulasan