'Suara anak meminta tolong terngiang di telinga'

 Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen (tiga kiri) bertanya khabar ketika melawat seorang daripada mangsa yang terselamat dalam insiden kereta api yang penuh sesak tergelincir dalam terowong di timur Taiwan, semalam. - Foto EPA

HUALIEN: Beberapa mangsa yang terselamat daripada nahas kereta api terburuk Taiwan menceritakan kisah menyayat hati ketika mencari anggota keluarga yang terkorban dalam nahas itu.

Seorang daripadanya ialah Chung Hui-mei, satu-satunya yang terselamat dalam keluarganya. Suami dan dua anaknya terkorban dalam nahas itu.

"Oleh kerana kereta api itu penuh, saya terpaksa duduk jauh daripada suami dan dua anak dan tidak berada di sebelah mereka ketika berlakunya kemalangan.

"Masih terngiang-ngiang di telinga suara anak perempuan meminta tolong sebelum senyap. Rasa ngeri dan sedih ketika menemui mayat suami dan anaknya yang tidak bernyawa pastinya tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

"Suami dan anak duduk di depan gerabak kelapan," katanya yang mengalami luka di dahi dan lengan kepada akhbar Liberty Times di bilik mayat di Hualien.

Pasukan penyelamat mengalihkan trak yang melanggar kereta api menyebabkannya tergelincir dalam terowong di timur Taiwan, semalam. - Foto EPA
Pasukan penyelamat mengalihkan trak yang melanggar kereta api menyebabkannya tergelincir dalam terowong di timur Taiwan, semalam. - Foto EPA

Hui-mei berkata, kereta api bergerak laju dan tidak mengurangkan kelajuan sebelum kemalangan.

"Konduktor mula membunyikan hon awal dan dia tahu ada keadaan di hadapan tetapi sudah melambat sebelum kereta api melanggar terowong," katanya.

Seorang lagi wanita yang terselamat yang hanya dikenali sebagai Yang memberitahu Era TV, dia dan suaminya sedang berdiri di kawasan yang menghubungkan dua gerabak ketika kereta api tergelincir.

"Saya tidak terus ke hospital mendapatkan rawatan kerana suami saya meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Yang yang menggunakan kerusi roda berkata, beliau teringat terdorong ke hadapan dalam nahas itu dan percaya suaminya yang berada bersamanya mengurangkan kesan impak hentakan.

"Saya merasa bingung pada waktu itu...saya mendapatkan suami saya tetapi dia sudah meninggal," katanya.

Menurut kenyataan pihak berkuasa, kira-kira 500 orang berada dalam keretapi itu dengan 372 penumpang duduk manakala bakinya berdiri.

Kemalangan di landasan kereta api timur Taiwan sekitar jam 9.30 pagi semalam berhampiran bandar pesisir Hualien, mengorbankan lebih 50 penumpang dan mencederakan lebih 170 orang

Kebanyakan penumpang pulang ke kampung halaman untuk membersihkan kubur nenek moyang mereka pada awal festival pada hujung minggu percutian yang panjang ketika jalan raya dan kereta api Taiwan biasanya mengalami kesesakan.

Laluan kereta api timur Taiwan biasanya menjadi tarikan pelancong yang popular di pinggir pantai timur yang kurang penduduk. - AFP

Catat Ulasan

0 Ulasan