'PRU-15 selepas selesai imuniti berkelompok'

 Mohd Redzuan menyerahkan sumbangan beg sekolah kepada murid dalam DUN Durian Tunggal pada program Jelajah Pak Wan Prihatin di Kampung Pantai Belimbing, Alor Gajah, hari ini. - NSTP/HASSAN OMAR

Mohd Redzuan menyerahkan sumbangan beg sekolah kepada murid dalam DUN Durian Tunggal pada program Jelajah Pak Wan Prihatin di Kampung Pantai Belimbing, Alor Gajah, hari ini. - NSTP/HASSAN OMAR

ALOR GAJAH: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak akan diadakan selagi tahap imuniti berkelompok iaitu 80 peratus rakyat mendapat suntikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan belum dicapai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof, menegaskan, program imunisasi bagi rakyat lebih utama daripada PRU-15.

Katanya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebh mementingkan nyawa manusia berbanding keperluan mengadakan PRU-15.

Beliau menegaskan, kerajaan menjangkakan antara 70 hingga 80 peratus rakyat akan menerima suntikan itu menjelang Februari atau Mac tahun depan.

"Selepas itu, PRU-15 harus dipertimbangkan dengan kuasa membubarkan Parlimen terletak pada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Justeru, PRU-15 tidak akan diadakan selagi program imunisasi ini belum mencapai antara 70 hingga 80 peratus, selain bergantung kepada kesediaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jelajah Pak Wan Prihatin Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Kampung Pantai Belimbing di sini, hari ini.

Mohd Redzuan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Wan dalam kalangan masyarakat setempat, turut menyampaikan sumbangan bahan makanan di beberapa kampung.

Yang turut hadir, Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Shabudin Senin.

Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, bahawa menteri daripada UMNO akan melepaskan jawatan menjelang Ogos ini jika Parlimen tidak dibubarkan pada waktu itu.

Tajuddin dilaporkan berkata, UMNO sudah membuat keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan PN jika Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membubarkan Parlimen dalam tempoh berkenaan.

Mohd Redzuan berkata, kerajaan PN akan terus kukuh sekalipun semua menteri daripada UMNO meletak jawatan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU menegaskan, Biro Politik parti sedang menyediakan pelan menghadapi tentangan UMNO di kerusi yang bakal ditandingi pada PRU-15.

"UMNO sudah mengumumkan akan bertanding di semua kerusi yang pernah ditandinginya pada PRU-14 dan kita bersedia menghadapinya," katanya.

Sebagai persediaan menghadapi PRU-15, katanya, BERSATU akan memperkukuh kerjasama dengan PAS dan parti lain yang bergabung dalam PN, sejajar konsep perpaduan diperjuangkan.

Sumber: berita harian

Catat Ulasan

0 Ulasan