LONDON: Badan kawal selia perubatan United Kingdom (UK) hari ini mengesahkan tujuh daripada 30 individu yang mengalami pembekuan darah selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca, meninggal dunia.
Kenyataan berhubung kes kematian itu dikeluarkan selepas beberapa negara Eropah mengambil keputusan menghentikan sementara suntikan vaksin AstraZeneca selepas ia berpotensi menyebabkan pembekuan darah.
Agensi Kawal Selia Produk Penjagaan Kesihatan dan Perubatan UK, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya menerima 30 laporan berhubung kesan pengambilan suntikan vaksin berkenaan.
"Malangnya, tujuh dilaporkan meninggal dunia," katanya.
Belanda semalam menghentikan imunisasi menggunakan vaksin AstraZeneca untuk penerima berusia 60 tahun ke atas berikutan lima kes darah beku direkodkan dalam kalangan wanita termasuk seorang daripadanya meninggal dunia.
Susulan perkembangan itu, Jerman turut mengambil pendekatan sama awal minggu lalu terhadap suntikan vaksin AstraZeneca.
Agensi Perubatan Eropah (EMA) yang sebelum ini mengesahkan bahawa vaksin AstraZeneca selamat digunakan, dijangka membuat pengumuman terbaru berhubung isu penggunaan vaksin berkenaan pada 7 April ini.
Pada Rabu lalu, EMA menyatakan kepercayaan bahawa vaksin dibangunkan farmaseutikal UK itu selamat, malah pakar tidak menemui sebarang faktor risiko membabitkan umur, jantina atau sejarah perubatan.
Katanya, 30 laporan pembekuan darah atau trombosis yang dikemukakan pengamal perubatan atau orang awam menerusi laman sesawang kerajaan mula timbul hanya selepas 18.1 juta dos vaksin AstraZeneca diberikan kepada penduduk UK.
Kebanyakannya iaitu 22 kes, adalah 'cerebral venous sinus thrombosis' atau pembekuan darah pada saraf otak.
Lapan kes lain menyaksikan penerima suntikan vaksin mengalami pembekuan darah dan kandungan platlet darah yang rendah, sekali gus menyumbang kepada pembekuan darah. - AFP
0 Ulasan