12,000 hilang tempat tinggal akibat serangan udara tentera Myanmar

 Gambar diambil dari pekan Mae Sam Laep di wilayah Mae Hong Son, Thailand, menunjukkan pos kawalan tentera Myanmar d seberang Sungai Salween, yang menjadi lokasi pelarian dari Myanmar memasuki Thailand. - Foto AFP

YANGON: Kumpulan pemberontak menuduh tentera Myanmar menggunakan kekerasan melampau melancarkan serangan udara di sempadan dengan Thailand.

Serangan udara itu didakwa menyebabkan lebih 12,000 orang awam tidak bersenjata termasuk kanak-kanak, kehilangan tempat tinggal.

Pada hujung bulan lalu, kumpulan etnik bersenjata, Karen National Union (KNU) menawan sebuah kubu tentera di timur Kayin, selain membunuh 10 pegawai tentera.

Susulan langkah KNU itu, junta tentera Myanmar melancarkan gerakan balas menerusi serangan udara dengan pengeboman bertali arus.

Serangan dari 27 hingga 30 Mac lalu itu menyebabkan ramai orang terbunuh, termasuk kanak-kanak.

KNU juga adalah antara seteru paling lantang menentang junta tentera yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.

Jurucakap junta tentera, Zaw Min Tun, berkata serangan hanya disasarkan ke arah Briged Ke-5 KNU yang menjadi dalang di sebalik serangan menawan kubu tentera dan pembunuhan pegawai tentera sebelum ini.

"Kami hanya melancarkan serangan udara pada hari itu saja. Kita sudah menandatangani perjanjian gencatan senjata di seluruh negara.

"Sekiranya mereka menepati perjanjian itu, tiada sebab untuk sebarang konflik tercetus," katanya.

Media etnik Karen dan kumpulan berhaluan kanan sebelum ini melaporkan siri pengeboman serta serangan udara dilancarkan di seluruh negeri sejak kebelakangan ini.

Kira-kira 3,000 orang lari ke Thailand Isnin lalu dengan menyeberang Sungai Salween bagi mencari perlindungan, namun Thailand mendakwa kebanyakan pelarian kembali ke Myanmar dua hari berikutnya secara sukarela. - AFP

Catat Ulasan

0 Ulasan