KIEV: Russia dituduh cuba menimbulkan ketegangan dengan Ukraine sejak beberapa hari lalu berikutan tindakan menambah penghantaran askarnya ke sempadan negara berjiran itu.
Sebelum ini, kedua-dua negara saling tuduh menuduh berikutan peningkatan keganasan antara tentera Ukraine dengan kumpulan pejuang pemisah di negara itu, yang mendapat sokongan Russia.
Kiev mendakwa kumpulan pemisah itu mencabuli gencatan senjata yang dipersetujui Moscow pada Julai tahun lalu selain menuduh negara jirannya itu membina kekuatan ketenteraan di sempadan.
Walaupun Russia menafikannya, difahamkan kira-kira 4,000 askar negara itu dikerah ke kawasan sempadan dengan Ukraine baru-baru ini.
Sehubungan itu, Pusat Pemerintah Tentera Amerika Syarikat (AS) di Eropah turut meningkatkan pemantauan terhadap krisis membabitkan dua negara itu.
Setakat ini, 14,000 orang terkorban dan 1.5 juta orang hilang tempat tinggal sejak pertempuran antara kedua-dua negara pada 2014, sehingga ia diakhiri menerusi perjanjian Minsk setahun kemudian.
Bagaimanapun, konflik antara kedua-dua negara terus berlaku berikutan percanggahan berhubung pelaksanaan perjanjian damai itu.
Minggu lalu, Ukraine mendakwa empat askarnya terbunuh akibat pengeboman oleh kumpulan pemisah pro Russia di Donbass.
Ketua Tentera Ukraine, Ruslan Khomchak, mendakwa Moscow sedang menghimpunkan tentera dekat sempadan negaranya itu.
Kumpulan pemisah yang menguasai sejumlah kawasan di wilayah Donetsk, timur Ukraine sejak 2014 itu menyerang kedudukan tentera Ukraine dengan tembakan mortar, pelancar bom dan mesingan.
Rabu lalu, Setiausaha Negara AS, Antony Bliken, mengeluarkan kenyataan mengulangi sokongannya kepada Kiev bagi menghadapi tindakan agresif Moscow.
Media sosial juga banyak menyiarkan rakaman video menunjukkan sejumlah kereta kebal, kenderaan perisai tentera dan kelengkapan ketenteraan Russia dihantar ke kawasan sempadan dengan Ukraine dan sedang menuju ke Crimea.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dilaporkan berkata peningkatan ketegangan di wilayah timur negara itu menunjukkan Russia cuba mengancam Kiev dan berharap gencatan senjata yang dipersetujui tahun lalu disambung semula.
Namun, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, Khamis lalu menegaskan sebarang percubaan untuk memulakan konflik ketenteraan di Ukraine akan menyebabkan negara itu mengalami kemusnahan.
Sebelum ini, Presiden Russia, Vladimir Putin, turut menyalahkan Ukraine atas ketegangan yang berlaku selain mengesyorkan Kiev berdialog dengan kumpulan pemisah bagi menamatkan krisis antara mereka. - AGENSI
0 Ulasan