MANILA: Filipina mengarahkan lebih 24 juta orang di Manila dan sekitarnya dikenakan sekatan pergerakan minggu depan berikutan hospital berdepan lonjakan kes COVID-19.
Sekatan diumumkan oleh jurucakap presiden, Harry Roque, terpakai untuk Metro Manila dan empat wilayah di sekitarnya, yang dimasukkan ke dalam gelembung perjalanan untuk mencegah lonjakan lebih teruk.
"Virus adalah musuh, bukan pemerintah. Sementara kami berada di rumah sepanjang perintah berkurung dari jam 6 petang hingga 5 pagi, kami menjangkakan kadar jangkitan akan perlahan," katanya.
Bermula Isnin ini, semua orang akan bekerja dari rumah kecuali pekerjaan penting, pengangkutan awam dihentikan, kegiatan berkumpul dilarang serta perniagaan tidak penting tidak dibenarkan.
Perintah sekatan sebelum ini menyebabkan kesan teruk pada ekonomi tetapi Roque berkata hari kerja yang sedikit pada minggu depan berikutan cuti umum Hari Easter akan mengehadkan gangguan.
Jangkitan baru mencecah 9,595 kes hari ini iaitu kedua tertinggi sejak bermulanya wabak ini, menjadikan jumlah jangkitan meningkat kepada lebih 712,000 kes.
Kumpulan penyelidikan bebas OCTA memberi amaran bahawa jangkitan baru setiap hari boleh mencapai 11,000 orang pada akhir Mac.
Mereka berpendapat sekatan lebih ketat diperlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk menyelamatkan hospital dan pekerja penjagaan kesihatan yang kini keletihan. - AFP
sumber:berita harian
0 Ulasan