Aktiviti jualan di lampu isyarat didakwa masih berlaku

 

JOHOR BAHRU- Aktiviti menjual produk khususnya makanan di persimpangan lampu isyarat pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini didakwa masih ada walaupun amaran telah diberikan oleh pihak berkuasa.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan itu pada Selasa mendapati, tiada penjual yang menjaja makanan di kawasan itu namun difahamkan, ia masih berjalan seperti biasa.

Seorang pekerja di kawasan itu, Ishak Abdullah, 48, mendakwa, aktiviti menjual di lampu isyarat di kawasan itu telah bermula sejak beberapa bulan lalu.

"Kebiasaannya antara dua ke lima orang yang menjaja di kawasan ini pada pagi, tengah hari atau petang. Kebiasaannya mereka menjual buah-buahan atau jeruk yang dijual RM10 sebekas.

"Kita faham dalam keadaan ekonomi sekarang, mungkin mereka terpaksa menjual dengan cara itu.

"Namun, jika pihak berkuasa larang, saya rasa mereka patut akur. Lagi pun ia melibatkan keselamatan mereka dan pengguna jalan yang lain," katanya.

Mohd Zain Ibrahim, 60, turut mengakui perkara itu dan mendakwa aktiviti jualan rancak berlaku pada sebelah petang.

"Kebiasaannya sebelah petang memang ada yang menjual di kawasan lampu isyarat di sekitar kawasan ini.

"Saya perasan aktiviti ini berjalan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mungkin atas faktor ekonomi menyebabkan mereka berniaga dengan cara itu," katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan