KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, penyanyi lagu Cute (Stoplah Being So Cute), Harith Zazman, 27, sah bergelar suami kepada Nuramalina Ghakashah, 29, petang semalam.
Majlis patuh prosedur operasi standard (SOP) berlangsung di Pejabat Agama Hulu Langat dengan dihadiri pasangan pengantin dan bapa Nuramalina sebagai wali.
Pada majlis pernikahan serba ringkas itu, Harith menyerahkan hantaran RM15,000 dan mas kahwin RM300.
Dengan sekali lafaz, Harith sah bergelar isteri kepada Nuramalina, petang semalam. Foto Ihsan Harith Zazman"Akad nikah mengambil masa kira-kira sekitar 20 minit. Sangat pantas dan lancar. Selesai bernikah, kami pulang ke rumah dan menikmati jamuan bersama ahli keluarga," kata Harith kepada BH Online.
Harith atau nama penuh, Mohamad Harith Saifuzzaman memberitahu, isterinya bekerja di sebuah syarikat penerbangan dan pernah ditampilkan dalam video muzik lagu Cute.
"Isteri saya seorang 'instafamous'. Kami berkenalan sejak setahun lalu ketika pandemik COVID-19 melanda," katanya.
Harith berkata, dalam diam, dia mencipta lagu Cute untuk Nuramalina.
"Mula-mula kami berkawan sehinggalah detik saya menawarkannya peluang muncul dalam klip video lagu Cute. Akhirnya, dia dapat tahu lagu berkenaan ditujukan kepadanya.
"Kami kemudian makin rapat, bertunang Mac lalu dan akhirnya mengikat janji untuk bernikah," katanya.
Harith berkata, niat menganjurkan majlis resepsi terpaksa dipendam berikutan situasi semasa penularan COVID-19.
"Perancangan untuk berbulan madu juga nampaknya 'tergantung'. Tidak mengapa, hendak buat macam mana. Bukan kuasa kita melawan kehendak takdir," katanya.
0 Ulasan