KUALA LUMPUR: Dalam dunia perniagaan, slogan 'pelanggan selalu betul' jadi pegangan ramai usahawan bagi memastikan produk atau perkhidmatan, laris di pasaran.
Namun, lumrah peniaga sebagai insan biasa, ada kala perlakuan pelanggan menguji kesabaran dan menyentap emosi apatah lagi apabila kritikan keterlaluan, dilemparkan.
Itulah yang dialami pelakon yang mengusahakan perniagaan laksam, Shima Anuar apabila berdepan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan sistem penghantaran tempahan yang diubah, baru-baru ini.
"Memasuki tahun kedua mengusahakan perniagaan laksam atas nama, Laksambys, tidak pernah saya berdepan pelanggan yang merungut mengenai sistem penghantaran tempahan.
"Baru-baru ini, saya ubah jadual penghantaran sebelah pagi yang ditukar kepada jam 2 petang dan 6 petang. Perubahan ini dimaklumkan dalam semua platform media sosial perniagaan, ejen dan akaun media sosial sendiri.
"Tetapi ada pelanggan bersikap acuh tak acuh dan menyalahkan saya dalam hal ini. Tidak cukup itu, saya dimaki dan dituduh sewel... Tindakan pelanggan itu saya anggap biadap.
Shima berharap pelanggan bertimbang rasa dengan peniaga kecil yang mencari pendapatan tambahan pada era pandemik COVID-19. Foto Ihsan Shima Anuar"Hanya kerana dia tidak peka dengan perubahan jadual penghantaran, dia hendak salahkan saya pula," katanya kepada BH Online.
Namun, ibu kepada dua cahaya mata ini tidak serik berdepan pelanggan seumpama itu kerana ikhlas mengusahakan perniagaan.
"Saya ikhlas berniaga dan mahu menolong ejen menambah pendapatan... Saya tidak serik. Biasalah, dalam perniagaan pasti ada masalah itu dan ini.
"Ada kalanya, di luar kawalan. Namun, jika perlu menjawab untuk membetulkan keadaan, saya buat," katanya.
Shima berharap pelanggan bertimbang rasa terhadap usahawan yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah demi meraih pendapatan sampingan pada era pandemik COVID-19.
"Jangan terlalu mudah menghina... Berbuat baiklah kepada semua," katanya.
Dalam perkembangan lain, berikutan penularan COVID-19 masih tinggi, malah, pernah dijangkiti virus itu, Januari lalu, Shima yang juga isteri kepada Mohd Solih Toha, sentiasa berhati-hati.
"Saya tidak keluar rumah sembarangan. Hanya keluar untuk urusan penting, berniaga dan beli barangan keperluan dapur.
"Wabak sedang mengganas sekarang. Walaupun kerajaan sudah membuka pelbagai sektor untuk meningkatkan ekonomi, ia bukan tiket kita buat itu dan ini.
"Biarpun individu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin dibenarkan makan di restoran, saya fikir, detik ini bukan masa untuk keluar rumah.
"Pilihan di tangan masing-masing... Kita kena berhati-hati kerana wabak ini sudah membabitkan kematian ramai orang," katanya.
Shima yang juga ibu kepada Marian Sophia dan Mikhael Imaan sudah menerima dua dos vaksin COVID-19.
"Saya sedang menunggu kebenaran dan prosedur operasi standard (SOP) bagi kerja penggambaran. Saya dijadualkan kembali ke set drama Lelaki Pendosa yang berbaki sebulan," katanya.
0 Ulasan