Hey, hang pasai apa? [Pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta hilang sabar]

 


Kuala Lumpur: Pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta hilang sabar terhadap pengacara sensasi, Azwan Ali yang mengeluarkan ayat kurang manis membabitkan ibunya, Zabedah Saad.

Isu terbabit tercetus apabila Azwan menerusi akaun Twitter, memberikan komen keterlaluan terhadap gaya pemakaian Che Ta ketika mengambil vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), baru-baru ini.

Che Ta yang dihubungi, meluahkan perasaan marah dan kesalnya dengan perkara itu.

"Saya rasa sangat keterlaluan dan ini bukan masa untuk bergurau. Selama ini, saya tak ambil peduli kerana tahu perangainya.

"Tapi apabila dia sentuh berkenaan pakaian saya ketika pergi ambil vaksin dan tulis ayat melampau terhadap saya dan emak, buat saya hilang sabar.

"Selama ini memang saya nampak dia maki orang itu, maki orang ini dengan perkataan yang teruk. Kita sendiri tak tergamak nak dengar, apa lagi nak ucap," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia tidak pernah ambil kisah kata-kata Azwan terhadapnya sebelum ini dan lebih suka berdiam diri.

"Bila dia kata pada saya macam-macam sebelum ini, saya tak kisah. Tapi apabila dia tulis sesuatu yang tidak sepatutnya membabitkan emak saya, itu yang buat saya marah.

"Apa masalah dia sebenarnya? Kami tak pernah bergaduh dan tak pernah simpan rasa dendam walau sebelum ini, macam-macam dia kata saya termasuk terhadap anak saya.

"Tapi kali ini amat melampau dan saya tak boleh bagi muka lagi. Manusia begini mulutnya lebih teruk dari puaka dan tiada benda elok yang diucap. Semuanya benda keji. Orang yang suka cakap benda keji sebenarnya hidupnya memang keji," katanya tanpa berselindung.

Che Ta mengakui menerima banyak maklum balas mengenai luahan hatinya di Instagram yang kini menerima hampir 800,000 tontonan.

"Ramai yang mesej saya secara peribadi dan puji tindakan ini. Selama ini kerjanya hanya maki orang. Bila orang tegur secara baik, mereka akan disekat.

"Saya tak tahulah kalau dia nak cari 'content' untuk tarik perhatian orang. Mana tahu, dia nak mati esok atau lusa, patutnya cari perhatian Allah, bukannya orang.

"Pengurus saya, Afiq dan kenalan saya Rosix Omar cuba hubungi dia tapi panggilan tak dijawab. Padahal sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kami ada 'shooting' untuk kandungan YouTube Rosix," katanya.

Ketika itu mereka terbabit untuk kandungan program masakan dan tiada sebarang masalah berlaku.

"Kami siap swafoto dan sebagainya tapi tiba-tiba jadi begini. Saya memang geram betul. Terasa nak cili dan siram mulutnya dengan minyak panas.

"Saya cakap terus terang, saya tak nak dan tak kuasa bekerjasama dengan dia selepas ini. Saya tak suka jumpa manusia yang hipokrit. Depan kita baik, belakang nak mengata-ngata saya.

"Maaflah, saya tak miskin kalau tak bekerjasama dengan dia. Dia memang boleh sumpah orang tapi lebih ramai yang sumpah dia. Tengoklah bagaimana pengakhiran dia nanti," katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Catat Ulasan

0 Ulasan