Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Aku Nita, berasal dari negeri Pahang. Anak ke-7 daripada 8, satu
satunya perempuan. Bukan niat membuka pekung di dada, tetapi inilah
realiti yang aku lalui dalam hidup hingga sekarang.
Ayah berasal dari Kelantan tetapi dipindahkan ke Pahang, mungkin
sebab mak kelahiran sana. Kepandaian ayah dari aku kecil sampai berumur
27 tahun hanyalah tidur.
Nasib kami adik beradik terbela disebabkan membesar di kawasan yang
komunitinya mempunyai gaji tetap setiap bulan. Purata gaji bersih ayah
dari dulu hingga sekarang mungkin dalam RM1200/ sebulan.
Dengan gaji RM1200/ sebulan untuk membesarkan 8 orang anak adalah
sangat sukar. Jika gaji RM1200, ayah akan memberi sebahagian gaji
(RM600) kepada mak. Tetapi semua bil, keperluan dapur dan keperluan
rumah akan menjadi tanggungjawab mak untuk diselesaikan termasuklah wang
saku untuk anak anak bersekolah.
Duit ayah? Ayah akan guna duit itu untuk kegunaan diri sendiri
seperti makan di kedai, atau membeli kuih muih untuk sendiri makan.
Kadang kalau bernasib baik anak ayah akan dapat merasa kuih muih
tersebut walaupun seketul kuih kongsi 3 orang. Mak hanya mampu melihat,
sebab ayah tak izinkan mak makan apa yang dia belikan. Tak layak
katanya.
Sewaktu darjah 3, aku pernah minta wang saku dengan ayah sebab mak
lupa nak bagi, tapi tak dapat. Alasan ayah, wang saku anak sekolah bukan
tanggungjawab dia. Terkebil kebil aku sambil berfikir nak makan apa
waktu rehat nanti.
Sewaktu di universiti, mak pernah meminta ayah mengirimkan duit RM100
sebab aku tak cukup duit untuk membayar sewa rumah dan duit mak pula
hanya cukup untuk membeli beras dan telur. Tetapi sampai sekarang ayah
mengungkit yang aku tidak mahu membayar balik duit itu.
Padahal setiap bulan dari mula bekerja aku akan kirimkan duit untuk
makan ayah dan mak di kampung. Setiap kali balik ke kampung ayah akan
mengungkit lagi bahawa aku semasa di universiti banyak menghabiskan duit
dia sampai dia bergolok bergadai.
Dulu aku sedih juga bila difitnah seperti ini tapi sekarang macam dah
lali. Untuk pengetahuan pembaca, RM100 itula kali pertama dan terakhir
ayah berikan sepanjang aku belajar di universiti.
Oleh kerana ayah langsung tidak ingin bekerja, mak menambah
pendapatan dengan bekerja sebagai penebas lalang di kawasan kebun, dari
aku bersekolah rendah sampai tingkatan 5. Selepas Subuh mak akan
menunggu lori yang akan menghantarnya ke kebun. Dalam pukul 5 petang mak
akan sampai ke rumah.
Hidup aku sebelum usia 9 tahun banyak diuruskan oleh abang K. Bila
dah mencecah 10 tahun aku sudah mampu menguruskan hidup sendiri. Dan
banyak menolong abang K membuat kerja kerja rumah juga.
Ayah akan tidur atau berbaring dalam 19 jam sehari, kalau tak dapat
tidur dia akan tutup mata sambil berbaring sahaja. Untuk pengetahuan
pembaca, ayah tidak mempunyai sebarang penyakit sehingga umur dia
mencecah 67 tahun. Badan ayah sangat sihat sebelum dia disahkan sakit
jantung 3 tahun yang lepas.
Oleh sebab mak bekerja, abang K mengambil alih tugas mak di rumah.
Ini kerana abang yang lain ada yang berkahwin awal dan ada yang masih
belajar di universiti.
Ayah mempunyai 8 orang anak. Kesemua 8 orang anak ayah tidak pernah
diazankan oleh ayah sendiri selepas dilahirkan. Ini kerana ayah tak
pernah menemani mak ke hospital semasa nak melahirkan.
Allah permudahkan urusan mak setiap kali mengandung, mak tidak
mendapat alahan dan tidak mempunyai penyakit. Bila dah tiba masa mahu
melahirkan, mak akan mengupah jiran untuk menghantarnya ke hospital.
Selesai melahirkan, jiran yang sama akan menjemput mak pulang daripada
hospital.
Semasa nak melahirkan adik S, mak tak larat nak berjalan kaki ke
rumah jiran, sebab perutnya terlalu sakit. Mak meminta ayah untuk
menghantarnya ke hospital. Tetapi dari terbaring di ruang tamu, ayah
terus mencapai pakaian lusuh untuk ke kebun.
Dalam keadaan mak yang sakit nak bersalin, ayah berlalu begitu sahaja
sambil bercakap pandai pandai mak mahu ke hospital bagaimana sebab dia
nak ke kebun (sebelum tu dah berbulan bulan ayah tak ke kebun).
Oleh kerana sentiasa bersalin normal, mak hanya berpantang 3 hari.
Hari ke-4, mak sudah bangun untuk menguruskan anak anak sekolah, memasak
untuk ayah makan dan menguruskan rumah seperti biasa.
Ayah sentiasa berada di rumah, tapi ayah anggap bukan tanggungjawab
dia untuk membuat kerja rumah walaupun mak masih berpantang. Semua itu
kerja perempuan katanya.
Ayah tidak pernah sentuh anak anaknya. Tiada langsung pelukan, ciuman
mahupun gurauan daripada ayah untuk anak anaknya. Kami adik beradik
tidak pernah dibawa ke taman permainan, makan di kedai makan, nak dibawa
ke pasaraya untuk membeli makanan atau permainan kegemaran adalah jauh
sama sekali.
Ayah sama sekali tidak akan bercakap dengan anak anak dan isterinya.
Ayah akan bersuara hanya bila dia ingin memaki hamun kami. Atau bila dia
ingin memaki jiran dan anak anak jiran.
Kalau mak bertanya, lagi ayah tidak mahu melayan. Malah, ayah akan
menjeling mak seolah olah dia rasa amat terganggu bila mak ingin
bercakap dengannya.
Bila anak anak ayah sudah membesar, kami rasa kekok sudah untuk
berbual bual dengan ayah sebab tidak biasa bercakap dengan ayah sendiri
sedari kecil. Kalau ayah bersuara, semua yang keluar dari mulut ayah
juga tiada satu pun yang positif. Sama ada maki hamun, cacian, ugutan,
atau fitnah semata mata.
Selepas bersalin mak membawa pulang anak ke rumah tapi kesemua 8
orang anak, ayah akan tengok dari jauh sahaja. Kalau anak sakit, mak
terpaksa meminta tolong jiran untuk hantar anak ke klinik.
Ayah rela tidur daripada membawa anak sakit ke klinik. Ayah hanya
tahu berleter, yang budak budak sememangnya begitu, terlalu manja. Sikit
sikit sakit dan banyak berpura pura sakit sahaja. Sedangkan anak yang
demam panas sudah hampir 4 hari tak mampu bergerak.
Dari aku kecil sampai sebelum ayah sakit, ayah banyak makan di kedai.
Aku sekarang dah 27 tahun, tapi sekali pun aku tak pernah merasa makan
semeja bersama sama ayah. Begitu juga dengan mak dan adik beradik yang
lain. Ya, ayah sangat suka makan seorang diri. Makan bersama sama
keluarga sangat menyusahkan pada fikiran dia.
Sebab anak kecil biasanya suka bergaduh sewaktu makan. Tapi bila anak
dah besar pun, ayah masih gemar makan seorang. Usai mak siap memasak,
ayah akan cepat cepat masuk ke dapur untuk makan sebelum mak memanggil
anak anak ke dapur pula. Begitulah rutin harian ayah dari muda sampai ke
tua.
Ayah juga tidak pernah solat dan puasa. Berbuih mulut mak dan abang
menasihati ayah, tapi hati ayah sangat keras. Ayah akan solat jika ada
tetamu di rumah, tambahan kalau tetamu itu adalah saudara ayah sendiri.
Ayah akan pura pura bangun pagi untuk solat Subuh di masjid dan pura
pura pergi ke surau untuk solat Zohor dan Asar. Ini membuatkan saudara
di sebelah ayah tak pernah percaya malah memarahi mak bila mak meminta
tolong mereka supaya menasihati ayah.
Begitu juga dengan puasa. Ayah akan berpura pura bangun untuk sahur.
Sesudah sahur terus masuk ke bilik sambung tidur. Setelah tengah hari
ayah akan bangun untuk ‘lunch’. Begitu juga dengan petang.
Bila dah hampir waktu berbuka ayah akan mengambil makanan lebih awal.
Bawa makanan ke ruang tamu dan ayah akan ‘berbuaka puasa’ seorang diri
di ruang tamu. Habis tu siapa yang mengajar kami adik beradik untuk
solat, membaca Quran dan puasa? Tentulah mak.
Ayah tidak pandai bergaul dengan masyarakat. Apa yang keluar dari
mulutnya hanyalah kata kata fitnah dan cacian terhadap jiran dan anak
anak jiran. Ayah akan mengawal rapi pergerakan semua anaknya supaya
tidak keluar rumah untuk bermain dengan anak anak jiran.
Katanya semua anak anak jiran itu sangat jahat dan busuk hati. Jadi
ayah tidak mahu anaknya turut jahat sekali. Mak pun tak dibenarkan
berbual bual dengan jiran sendiri. Kata ayah, kawan kawan mak semua
bermulut jahat, hanya tahu mengumpat dan mengajar mak supaya tidak
menghormati suami.
Padahal semasa mak sakit nak melahirkan, hanya jiran itu yang setia
menghantar mak ke hospital. Bila barang dapur sudah habis, jiran itu
juga yang membawa mak ke pasaraya. Bila anak mak sakit, jiran itu juga
yang menghantar ke klinik.
Bila anak mak di universiti kehabisan duit, jiran itu juga yang bagi hutang untuk mak kirimkan kepada abang abang aku dahulu.
Bila abang K membawa kawan sekelas untuk study bersama sama ke rumah
kami, ayah akan mengambil kesempatan untuk mencaci kawan abang K. Ayah
akan cakap kawan abang K bdoh jadi mereka tak perlu datang ke rumah
untuk study dengan abang K. Sebab orang bdoh tak akan pandai selama
lamanya.
Lagipun ayah cakap kawan abang K hanya membuang masa abang K sebab
perlu mengajar orang bdoh. Menangis nangis kawan abang K bila dikatakan
bdoh oleh ayah sedangkan dia sudah berusia 17 tahun pada waktu itu.
Aku masih ingat sewaktu di tingkatan 5, aku bersama sama kawan
perempuan buat ‘study group’ untuk persediaan peperiksaan SPM di rumah
salah seorang kawan perempuan kami. Aku sudah meminta izin mak dan
memaklumkan di rumah siapa aku ‘study group’.
Belum sempat 5 minit, ayah dah sampai di rumah kawan perempuan aku.
Marah marahkan semua kawan aku sambil menuduh kawan kawan telah
menghasut aku untuk keluar dari rumah.
Tambah ayah lagi, kami tak perlu buat ‘study group’ pun sebab aku dah
bijak dari orang lain, padahal tak bijak mana pun. Angkuhnya ayah dalam
berkata kata. Ayah juga cakap dia tak suka aku berkawan dengan
perempuan liar di hadapan kawan kawan perempuan aku itu.
Aku jadi kelu seribu bahasa. Tanpa membuang masa, aku terus mengemas
semua buku dan mengikut ayah pulang ke rumah dan hanya membiarkan kawan
kawan yang sedang bersedih kerana telah dituduh liar oleh ayah. Sampai
sekarang kawan kawan ‘study group’ tersebut tidak mahu berkawan rapat
dengan aku.
Disebabkan perangai ayah, aku terpaksa menjadi kera sumbang sewaktu
di sekolah menengah. Apa apa aktiviti di luar sekolah, langsung aku
tidak diajak untuk menyertai. Sebab kawan kawan sekelas aku tidak mahu
dimarah oleh ayah juga.
Sudahnya aku berjalan kaki pergi dan balik ke sekolah seorang diri
dari tingkatan 1 sampai 5 disebabkan sudah tiada siapa yang sudi
berkawan dengan aku lagi.
Dari kecil sampai sekarang, kami adik beradik membesar dengan melihat pergaduhan mak dan ayah hampir setiap hari.
Aku pernah tengok ayah menumbuk muka mak, dan aku pernah tengok mak
hampir memukul kepala ayah dengan kayu yang besar tapi sempat dihalang
oleh abang. Ini kerana mak terlalu geram selepas ayah asyik menuduhnya
curang disebabkan keluar untuk membeli ikan.
Ayah akan sentiasa mencari kesalahan mak. Menuduh mak curang walaupun
mak keluar membeli barang keperluan. Menuduh mak pentingkan diri
sendiri sebab mak tak izinkan dia berkahwin lain. Memarahi mak sebab
membiarkan anak anaknya bermain dengan anak anak jiran sebab bagi ayah
semua jirannya adalah orang yang paling jahat.
Untuk pengetahuan pembaca, ayah tak pernah menghadiahkan apa apa
pakaian atau barang perhiasan untuk mak. Hatta membeli persalinan wajib
untuk mak 2 kali setahun pun ayah tak pernah tunaikan.
Bagi ayah, dengan berkongsi sebahagian gajinya dengan mak setiap
bulan sudah memenuhi tanggungjawabnya. Nak membeli hadiah untuk anak
anak jauh sekali !
Ayah akan bergaduh dengan mak setiap kali tibanya raya. Disebabkan
tidak pandai dan tidak mahu bersocial, ayah langsung tak mahu pulang
beraya ke kampung mak.
Jika mak memaksa ayah untuk beraya di kampungnya, ayah akan mula buat
perangai. Ayah akan terbaring di ruang tamu sepanjang hari, tidak kisah
akan siapa yang lalu lalang. Bangun hanya untuk makan dan mandi. Tidak
solat jugak melainkan saudaranya datang beraya baru ayah cepat cepat
bangun untuk solat.
Kami adik beradik terasa sangat malu, lebih lebih lagi sepupu kami
punya ayah yang betul betul macam seorang ayah. Ayah mereka semua
bekerja bagus, bergaji besar, berbudi bahasa, lembut melayan isteri dan
anak anak tapi ayah kami?
Ketika inilah mak dan ayah bergaduh mulut yang maha dasyat di hadapan saudara mara.
Selepas kejadian ini, mak dah tak memaksa ayah untuk pulang beraya ke
kampungnya. Kami adik beradik buat keputusan untuk beraya di rumah
sendiri sahaja sampai sekarang. Bila beraya di rumah sendiri ada pula
masalah lain yang timbul.
Ayah tak membenarkan kanak kanak tanpa orang tua masuk ke rumah kami
untuk beraya. Baginya kanak kanak datang beraya hanya menyusahkan dia
sahaja sebab kanak kanak akan membuat bising dan mengotorkan meja makan.
Kami melarang ayah berbuat demikian tapi kami pula dimaki ayah. Emak
pun melarang sudahnya mak dikatakan isteri derhaka sebab menentang
arahan suami.
Sudahnya semua kanak kanak dihalau dari rumah dan belum sempat petang
ayah sudah menutup rapat pintu rumah berserta tingkap supaya jiran
menganggap kami tiada di rumah. Dan hingga ke malam tiadalah tetamu yang
datang beraya.
Saudara mara? Mereka tidak pernah mahu datang beraya disebabkan sudah
masak dengan perangai ayah yang susah hati untuk menerima tetamu datang
ke rumahnya.
Aku pernah berfikir bahawa ayah tak pernah sayangkan kami. Ayah hanya
menganggap kami sebagai bebanan. Sebab itu tanggungjawab menjaga anak
anak dilepaskan semuanya kepada mak.
Kerana itulah juga ayah membiarkan aku berjalan seorang diri melalui
jalan short cut yang bersemak samun untuk pergi dan balik dari sekolah.
Tidak pernah sekali pun ayah menawarkan diri untuk menghantar aku ke
sekolah hakikatnya aku seorang anak perempuan.
Dari sekolah tabika lagi ketika berusia 6 tahun, ayah telah melatih
aku berjalan kaki untuk pergi dan balik dari sekolah. Aku tahu ayah
sangat sayang waktu tidurnya lebih daripada dia menyayangi aku. Jika
bernasib baik, ada jiran yang akan menumpangkan aku balik ke rumah.
Kadang kadang cikgu sekolah tabika sendiri yang menghantar aku pulang
selepas cikgu perasan aku jarang dijemput ayah pulang. Mungkin cikgu
risaukan aku sebab jarak sekolah tabika dengan rumah aku lebih kurang 2
km, agak jauh untuk berjalan kaki bagi seorang kanak kanak seperti aku
ketika itu. Bersambung…
Untuk Part 2, klik link dibawah:
0 Ulasan