BUTTERWORTH: Seorang lelaki dikatakan gelandangan, ditemui maut dalam longkang selepas dipercayai terjatuh dari pokok mangga di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Tenggiri, Seberang Jaya, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata pihaknya menerima panggilan awam berhubung penemuan mayat lelaki berusia 54 tahun itu pada jam 7.25 pagi.
"Setiba di lokasi kejadian, anggota mendapati ada mayat lelaki lengkap berpakaian di dalam longkang.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia susulan kecederaan dialaminya selepas tergelincir dan terjatuh dari pokok pelam (mangga) di kawasan itu.
"Ini berikutan ada sebuah guni berisi pelam berdekatan mangsa dan sebuah lagi guni di atas pokok pelam yang berhampiran longkang," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Berdasarkan maklumat diperoleh daripada penduduk setempat, Shafee berkata, mangsa dikatakan gelandangan yang memanjat pokok mangga dan mengambil buahnya untuk dijual.
Beliau berkata, polis kemudian menghubungi pihak bomba untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa dari longkang terbabit.
"Hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati tiada unsur jenayah, setakat ini," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
0 Ulasan