KEPALA BATAS: Karnival Mahabbah yang menempatkan pelbagai gerai jualan sempena Aidilfitri di Bertam di sini dikenakan notis amaran oleh Kementerian Kesihatan untuk memperbaiki prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata amaran dikeluarkan selepas penganjur didapati tidak mengehadkan kemasukan jumlah pengunjung ke karnival jualan itu.
"Pemeriksaan mendapati penganjur menyediakan laluan keluar dan masuk namun tidak mengawal jumlah kemasukan pengunjung.
"Berikutan itu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan notis amaran supaya penganjur memperbaikinya SOP itu serta merta," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi pada jam 9 malam itu disertai 21 anggota penguatkuasa merangkumi polis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Kesihatan.
Dalam operasi itu, pasukan pemantau pematuhan SOP mendapati kira-kira 300 pengunjung berada di karnival jualan, menyebabkan berlaku kesesakan pelanggan sehingga mengabaikan penjarakan fizikal.
Noorzainy berkata, pihak berkuasa akan kembali membuat pemeriksaan dalam tempoh terdekat bagi menilai sama ada penganjur mematuhi semua SOP ditetapkan.
0 Ulasan