KINABATANGAN: Lelaki yang menetak rakannya disebabkan berlaku salah faham berkaitan penggunaan air di rumah berjaya ditangkap dalam kawasan ladang kelapa sawit di Melangking, Sukau, semalam.
Suspek, berjaya diberkas kira-kira jam 4 petang, ketika bersembunyi di bawah timbunan pelepah sawit.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata sebelum penahanan dilakukan pihaknya menerima maklumat pekerja ladang itu ada datang ke perumahan pekerja ladang untuk meminta makanan pada Ahad.
Katanya, susulan itu usaha mengesan lelaki terbabit dipergiatkan di kawasan seperti dilaporkan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
"Selepas menjalankan pengesanan, suspek akhirnya berjaya dikesan bersembunyi di bawah timbunan pelepah sawit di ladang terbabit.
"Ketika ditemui, lelaki itu tidak berpakaian dan masih lagi memegang sebilah senjata tajam yang disyaki digunakan untuk menetak mangsa.
"Suspek bertindak agresif ketika cuba ditangkap namun berjaya ditahan dan senjata sepanjang 76 sentimeter turut dirampas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, akhbar melaporkan kejadian pergaduhan dua rakan serumah susulan masalah bekalan air.
Mangsa, 30, dilaporkan suka membazir air sedangkan perumahan mereka mengalami masalah bekalan air.
Berlaku pertengkaran antara kedua-duanya sehingga salah seorang terbunuh akibat dilibas dengan senjata tajam.
0 Ulasan