ROME: Sekurang-kurangnya 60 migran dikhuatiri maut selepas enjin bot mereka terbakar di luar pesisir pantai Libya ketika cubaan menyeberangi Laut Mediterranean.
Persatuan kebajikan, Alarm Phone, yang mengendalikan talian bantuan Mediterranean secara sukarela, berkata ia berjaya menghubungi beberapa mangsa yang terselamat dalam kejadian pada 18 Mac lalu itu.
Alarm Phone berkata mereka pada awalnya dihubungi oleh salah seorang migran dari bot berkenaan dan dimaklumkan pihak berkuasa Libya selepas itu bahawa 45 mangsa berjaya diselamatkan dan lima mayat ditemui.
Namun, menurut mereka, kira-kira 60 lagi mangsa masih hilang dan dikhuatiri maut, berdasarkan keterangan saksi kejadian.
Saksi memberitahu Alarm Phone bahawa mereka nampak ada orang yang terjun ke laut selepas bekalan bahan api kapal terbabit terbakar.
Difahamkan, bot kayu itu membawa kira-kira 100 penumpang ketika terbakar di lautan, mengakibatkan lebih ramai mangsa terkorban berbanding yang terselamat.
Selasa lalu, kumpulan kemanusiaan dari Eropah, SOS Mediterranee, berkata Itali akan membenarkan 116 migran meninggalkan kapal Ocean Viking selepas mereka diselamatkan dalam dua operasi minggu lalu di perairan Libya.
Mangsa yang selamat memberitahu, penumpang bot terbabit termasuk warga Sudan, Senegal, Syria, Pakistan, Maghribi dan Mesir. - AFP
0 Ulasan