DHAKA: Mahkamah Bangladesh hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap 14 pengganas yang cuba membunuh Perdana Menteri negara itu, Sheikh Hasina, kira-kira dua dekad lalu.
Pendakwa Raya, Abu Abdullah Bhuilyan, berkata plot pengeboman itu adalah salah satu daripada beberapa percubaan oleh pelampau Islam terhadap Hasina kerana berang dengan pendirian sekularnya ketika itu.
Sejak itu, tindakan keras dikenakan terhadap kumpulan militan Islam dengan lebih 100 pelampau terbunuh dalam serbuan polis manakala lebih 1,000 orang yang disyaki terbabit dalam kumpulan militan ditangkap.
Perbicaraan yang dilangsungkan secara 'fast track' itu memutuskan hukuman mati ke atas semua 14 tertuduh.
Bagaimanapun, kata Bhuilyan, lima daripada mereka melarikan diri selepas didapati bersalah atas tuduhan melakukan hasutan dan konspirasi jenayah.
"Tertuduh memasang dua bom di perkarangan kolej tempat Hasina dijadualkan untuk menghadiri satu perhimpunan dan peranti berkenaan ditemui dengan fius ditanggalkan.
"Mereka adalah pelampau Islam dari kumpulan Harkat ul Jihad al Islami (HuJI) dan Jamayetul Mujahideen Bangladesh (JMB)," katanya merujuk kepada militan yang didakwa melakukan serangan pengeboman berani mati dan bom tangan pada 2010.
Pemimpin HuJI Bangladesh, Mufti Abdul Hannan, yang dilatih oleh Afghanistan dan dua rakannya dihukum mati pada 2017 kerana cubaan membunuh Pesuruhjaya Tinggi Britain di Dhaka.
Bhuilyan berkata, dua daripada 14 individu yang dijatuhkan hukuman gantung itu adalah saudara kepada Hannan dan seorang lagi adalah abang iparnya.
Bangladesh menjatuhkan hukuman mati setiap tahun tetapi hanya segelintir individu yang menjalani hukuman itu.
Untuk rekod, Bangladesh melaksanakan hukuman gantung ke atas 23 orang sejak 2013.
Bagaimanapun, menurut sebuah kumpulan hak asasi tempatan, sekitar 1, 750 orang dijatuhi hukuman sama dalam tempoh itu. - AFP
0 Ulasan