KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine bernilai RM22 juta.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhi hukuman itu terhadap Mohammad Ishak Ramli, 37, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan, munasabah terhadap kes pendakwaan.
Bagaimanapun, tertuduh kedua iaitu kelindan sementaranya, Nur Muhammad Izzudin Nordin, 29, yang dituduh bersama dilepas dan dibebaskan, selepas didapati tidak bersalah bagi pertuduhan berkenaan.
Keputusan itu dibuat Abdul Wahab selepas pihak pembelaan tertuduh kedua, berjaya membuktikan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 203,946.7 gram di dalam ruang muatan sebuah treler jenis Volvo, di tepi sebuah rumah di Kampung Rawai, Bukit Payong, Marang jam 11 malam pada 25 September 2017.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Amer Abu Bakar Abdullah.
Sementara itu, tertuduh, Mohammad Ishak diwakili peguam, Datuk Sukri Mohamed, manakala Nur Muhammad Izzudin diwakili peguam, Mazlan Md Zain.
BACA JUGA Tidak rasa apa, macam suntikan biasa, kata Muhyiddin selepas terima dos vaksin Covid-19
0 Ulasan