Tidak rasa apa, macam suntikan biasa, kata Muhyiddin selepas terima dos vaksin Covid-19

a person holding a sign: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di pekarangan Klinik Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11. (Gambar Bernama)Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di pekarangan Klinik Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Sebaik selesai menerima suntikan pertama dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dan melalui proses pemantauan kesan sampingan selama 15 minit, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memaklumkan ia selamat dan tidak memberi sebarang kesan sampingan yang teruk.

“Syukur kepada tuhan saya telah menerima suntikan vaksin Covid-19 pertama di negara kita.

“Tidak rasa apa pun, macam suntikan biasa. Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisyham Abdullah ada tengok kami, tidak ada apa-apa jadi jangan risau,” kata Muhyiddin Yassin kepada media di perkarangan Klinik Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, beliau yakin vaksin tersebut selamat dan berkesan sambil merayu seluruh rakyat untuk tampil mendaftar bagi menerima suntikan secara percuma.

“Kalau tengok keadaan saya alhamdulillah, saya nak merayu kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mendapatkan vaksin secara percuma, tampil kehadapan mendaftar dalam MySejahtera supaya dapat ditentukan giliran bilamana saudara dan saudari akan diberi suntikan vaksin Covid-19.

“Saya yakin dan percaya usaha yang sedang dibuat pihak kerajaan bagi memastikan kita dapat memutuskan rantaian Covid-19. Sama-sama kita mendokong usaha ini supaya negara kita dalam tempoh singkat akan bebas wabak Covid-19,” katanya.

Terdahulu Muhyiddin menerima suntikan pertama dos vaksin Covid-19 yang disempurnakan Ketua Jurawat Klinik Kesihatan Derah Putrajaya, Lina Ibrahim.

Menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula secara rasmi hari ini, perdana menteri menerima vaksin tersebut sambil disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Selain Muhyiddin, turut menerima sutikan vaksin ialah Dr Noor Hisham yang disuntik oleh Jururawat Klinik Kesihatan, Presint 9 Putrajaya, Mazirah Mokhtar.

Turut menerima suntikan hari ini Pegawai Perubatan, Dr Tan Yee Ling, Penolong Pegawai Perubatan, Khairul Asraf Mohd Yasin, Jururawat, Sheilla Mellisa Sikin dan Pemandu, Clement M Francis.

Sementara itu Lina, jururawat yang memberikan suntikan pertama vaksin Covid-19 kepada Muhyiddin melahirkan rasa bangganya apabila diberi kepercayaan tersebut.

“Saya rasa bangga sebab dipilih memberi suntikan kepada pemimpin tertinggi negara iaitu kepada perdana menteri, tambahan pula ia vaksin baharu,” katanya kepada pemberita.


BACA JUGA RM60 juta untuk baiki runtuhan tebing Sungai Kelantan

Catat Ulasan

0 Ulasan