Kerajaan tumpu program ringankan beban rakyat - PM

 



KUALA LUMPUR: Kerajaan bertekad akan terus berusaha meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan menyediakan program perlindungan sosial yang komprehensif untuk memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata kerajaan sedar realiti kesulitan yang berlaku dalam kalangan rakyat tanpa mengira golongan, yang bertungkus-lumus membina semula dan meneruskan kehidupan berikutan pandemik COVID-19.

"Kerajaan mengikuti dengan rapat keadaan yang berlaku bagi memastikan ikhtiar bantuan dapat disampaikan kepada golongan sasaran. Ini juga dibuktikan melalui Belanjawan 2021 yang memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-inisiatif membantu rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

"Selain itu, saya juga mengumumkan inisiatif PERMAI (Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia) pada 18 Januari lalu. Pakej bantuan PERMAI, inisiatif kerajaan secara berterusan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Pelancaran Program Kemiskinan Bandar (5My) Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 yang berlangsung secara maya, malam ini.


Catat Ulasan

0 Ulasan