KOTA KINABALU: Ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) khususnya pemakaian pelitup muka yang dikesan masih diabaikan antara faktor yang dibimbangi menyebabkan jangkitan COVID-19 semakin mudah merebak di Sabah.
Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata pemantauan di lapangan mendapati ketidakpatuhan pemakaian pelitup muka dan kurangnya kesedaran masih berada pada tahap yang membimbangkan. Ia berdasarkan peningkatan bilangan kompaun harian yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
"Hari ini saja sebanyak 20 kompaun kerana melanggar SOP COVID-19 dikeluarkan di Sabah dengan sembilan daripadanya membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka, diikuti masing-masing empat kompaun atas kesalahan gagal mendaftar masuk premis dan membawa penumpang berlebihan," katanya dalam kenyataan.
Secara keseluruhan, Sabah mencatat penurunan 256 kes kepada 2,578 kes hari ini berbanding 2,834 kes semalam, namun Masidi berkata ia masih tinggi.
Kes kematian akibat COVID-19 turut merekodkan peningkatan dengan sebanyak 46 lagi kes dilaporkan hari ini, menjadikan ia jumlah tertinggi selepas 41 kes dilaporkan kelmarin dan 17 kes semalam.
Masidi berkata, sebanyak 11 kes kematian dilaporkan di Tawau, diikuti 10 kes di Kota Kinabalu, sembilan kes di Sandakan, masing-masing tiga kes di Tuaran dan Keningau, manakala masing-masing dua kes di Kinabatangan, Penampang dan Kalabakan, diikuti masing-masing satu kes di Papar, Kudat, Putatan dan Lahad Datu.
Sementara itu, Masidi berkata lebih separuh daripada 2,578 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini adalah kes tertunggak yang turut menjadi antara sebab jumlah kes tinggi di Sabah sejak kebelakangan ini.
Katanya, sebanyak 1,064 kes atau 41.3 peratus daripada 2,578 kes hari ini adalah kes positif yang selesai diuji antara dua hingga tiga hari lalu, diikuti 171 kes atau 6.6 peratus didaftar lewat antara empat hingga lima hari lalu, manakala 207 kes atau lapan peratus daripada keseluruhan kes hari ini didaftar lewat melebihi lima hari.
0 Ulasan