Polis tingkatkan kawalan susulan ancaman Israel - KPN

 Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar bertenang susulan ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh Israel. Ancaman berkenaan ditujukan kepada pemimpin pejuang Palestin yang berada di seluruh dunia termasuk Malaysia. - Foto hiasan NSTP

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar bertenang susulan ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh Israel. Ancaman berkenaan ditujukan kepada pemimpin pejuang Palestin yang berada di seluruh dunia termasuk Malaysia. - Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar bertenang susulan ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh Israel. Ancaman berkenaan ditujukan kepada pemimpin pejuang Palestin yang berada di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya memandang serius ancaman berkenaan yang turut menyenaraikan Malaysia sebagai sasaran.

"PDRM akan terus mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan dari semua aspek yang memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

"PDRM juga sentiasa bersiap siaga dan akan memantau isu ini dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. - Foto fail NSTP
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. - Foto fail NSTP

Beberapa klip video yang memetik sumber ketenteraan Israel mendakwa negara rejim Zionis itu akan menjalankan serangan terhadap "gerakan keganasan di seluruh dunia".

Kepimpinan Israel dikatakan telah mengarahkan pasukan perisikan Shin Bet dan Mossad untuk menghapuskan pegawai tertinggi Hamas di dalam dan luar negara, kata satu laporan memetik televisyen Israel yang menyebut beberapa negara termasuk Malaysia, Iran, Turki dan Qatar didakwa "menempatkan, memberi bantuan kewangan dan melatih pegawai Hamas".

Pada 2018, seorang jurutera elektrik yang juga anggota Hamas Fadi al-Batsh ditembak ketika beliau sedang menuju masjid untuk solat Subuh, oleh dua orang lelaki yang dipercayai pembunuh upahan pasukan perisikan Israel.

Catat Ulasan

0 Ulasan