Malaysia kecewa dengan Majlis Keselamatan PBB

 Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

PUTRAJAYA: Malaysia kecewa dengan ketidakupayaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang gagal mengutuk tindakan Israel serta menggesa keganasan ke atas rakyat Palestin dihentikan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata semalam adalah sesi ketiga Majlis Keselamatan PBB bersidang pada minggu ini namun tiada sebarang kenyataan dibuat berhubung situasi semasa di Palestin.

"Memandangkan tiada tindakan bersepadu oleh badan dunia itu, Malaysia selaras dengan kenyataan bersama dengan Brunei dan Indonesia, mendesak Perhimpunan Agung PBB segera mengadakan Sidang Khas bagi menghentikan konflik dengan segera.

"PBB mesti memaksa Israel mematuhi semua kewajipan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hishammuddin turut mengulangi penegasan Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan, serangan tanpa memilih mangsa yang semakin meningkat oleh rejim Israel serta peneroka mereka terhadap orang awam Palestin dan yang beribadah di Masjid al-Aqsa.

"Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya semua pengusiran secara paksa terhadap warga Palestin dari kediaman mereka, termasuk yang berada di kawasan Sheikh Jarrah dan Silwan di Baitulmaqdis Timur.

"Malaysia tidak sesekali mengiktiraf rampasan tanah rakyat Palestin yang dibuat secara terang-terangan oleh Israel untuk dijadikan penempatan haram mereka," katanya.

Hishammuddin berkata, Malaysia turut mendesak Majlis Keselamatan PBB memanfaatkan sepenuhnya mekanisme sedia ada bagi mengelakkan peningkatan kekerasan dan kehilangan lebih banyak nyawa di Palestin.

Katanya, dalam sesi persidangan video terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Asia Barat semalam, Malaysia mengetengahkan tiga perkara penting iaitu:

* Majlis Keselamatan mesti bertindak segera dan memenuhi tugasnya di bawah Piagam PBB

* Majlis Keselamatan mesti bersatu suara dan bertindak pantas dan tegas untuk bertindak balas terhadap siri serangan Israel

* Majlis Keselamatan perlu mengkaji semula cadangan yang terdapat dalam laporan Setiausaha Agung pada tahun 2018, A/ES-10/794, mengenai penempatan pasukan bersenjata yang diberi mandat oleh PBB atau pemerhati tidak bersenjata untuk meningkatkan perlindungan rakyat Palestin.

Catat Ulasan

0 Ulasan