Tiga antara enam remaja yang berlumba haram ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Lingkaran Luar Butterworth (LLB). - Foto NSTP/ Ihsan PDRM
BUTTERWORTH: Enam remaja lelaki termasuk tiga pelajar tingkatan empat ditahan ketika sedang berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata enam remaja menunggang motosikal itu berumur 16 hingga 19 tahun dan mereka ditahan dalam operasi bermula jam 5.30 petang dan tamat tiga jam kemudian.
Beliau berkata, polis mengesan enam motosikal yang ditunggang enam individu terbabit, sedang bersaing sesama sendiri sambil melakukan aksi berbahaya.
"Tindakan mereka yang berbahaya itu menyebabkan polis mengintip pergerakan sebelum membuat tangkapan.
"Lima individu ditahan di lorong motosikal berhampiran tol Bagan Ajam manakala seorang lagi yang cuba melarikan diri ditahan di kawasan Pantai Bersih tidak jauh dari lokasi tangkapan pertama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain tiga pelajar tingkatan empat itu, turut ditahan dua pembantu kedai dan seorang yang bekerja sendiri.
Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
sumber: berita harian
0 Ulasan