TAIPEI: Pekerja penyelenggaraan kereta api yang traknya meluncur ke landasan dan mencetuskan tragedi terburuk di Taiwan kelmarin memohon maaf hari ini.
Dia juga sedia bekerjasama dengan pasukan penyiasat berhubung kemalangan mengakibatkan sekurang-kurangnya 50 maut dan lebih 200 cedera apabila kereta api lapan gerabak tergelincir ke tepi terowong sempit.
Pasukan penyiasat berkata, Taroko Express merempuh sebuah trak di jajaran berhampiran pesisir timur bandar Hualien beberapa saat sebelum memasuki terowong.
Kenderaan itu tergelincir di tebing curam dan pihak pendakwa berusaha menentukan sama ada pemandu gagal membrek ketika meninggalkan kenderaan atau brek mengalami kerosakan mekanikal.
Pemandu, Lee Yi-hsiang, hari ini membaca kenyataan penuh emosi kepada pihak media.
"Saya amat menyesali dan mahu memohon maaf. Saya akan bertanggungjawab serta bekerjasama dalam siasatan polis dan pendakwa," katanya.
Yi-hsiang, 49, adalah sebahagian daripada pasukan berkala yang memeriksa laluan kereta api di kawasan timur pergunungan Taiwan untuk mencegah tanah runtuh dan risiko lain.
Dia disoal siasat oleh pendakwa pada hujung minggu lalu dan dibebaskan dengan jaminan mahkamah sementara menunggu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Lin Chia-lung, hari ini menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan susulan persoalan mengenai jumlah penumpang dan mengapa tiada pagar di bahagian landasan berkenaan.
Bagaimanapun, ia ditolak kerajaan yang menegaskan beliau perlu kekal menjawat jawatan itu hingga keputusan siasatan diterima. - AFP
0 Ulasan