Tangguh rentas negeri hingga warga emas divaksin

 Anggota polis memeriksa surat kebenaran rentas negeri dengan teliti setiap kenderaan yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak menuju ke arah pusat bandar raya ketika tinjauan SJR di Plaza Tol Gombak pada 14 Mac lalu. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Kebenaran rentas negeri perlu ditangguhkan hingga majoriti kumpulan rentan khususnya warga emas diberikan vaksin COVID-19 terlebih dahulu.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mengambil kira faktor vaksinasi di samping enam indikator yang diguna pakai kementerian itu ketika ini dalam membuat penilaian risiko.

Selain itu, katanya, faktor pertambahan jumlah zon hijau dan penurunan kes aktif dan kes baharu kepada dua atau satu angka juga perlu dipertimbangkan sebelum aktiviti rentas negeri khususnya untuk menyambut Aidilfitri dibenarkan.

"Apabila rentas negeri dibenarkan, memang orang akan balik kampung khususnya menjelang Ramadan dan Aidilfitri. Ini bermakna risiko jangkitan kepada orang tua di kampung akan meningkat.

"Saya berpendapat wajar untuk ibu bapa kita yang berusia 60 tahun ke atas divaksin terlebih dahulu menerusi Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula bulan depan.

"Jika kapasiti vaksinasi maksimum iaitu 126,000 dos sehari berjaya dicapai, kita akan mencapai hampir 7.6 juta kelompok rentan divaksin sekitar dua minggu selepas Aidilfitri, selain jumlah kes baharu dan kes aktif dijangka menurun kepada satu atau dua angka ketika itu jika pematuhan SOP dikekalkan.

"Sehubungan itu, saya berharap rentas negeri hanya dapat dibenarkan paling awal satu atau dua minggu minggu selepas Aidilfitri," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Terdahulu, KKM menerusi Facebook memaklumkan, kebenaran rentas negeri menjelang Aidilfitri akan diputuskan berdasarkan penilaian risiko yang membabitkan enam faktor, antaranya situasi kes harian termasuk kes yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang; trend dan kadar kebolehjangkitan; serta situasi semasa iaitu kadar dan jumlah kes kematian.

Selain itu, keupayaan katil dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital; situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti; dan ujian saringan di lapangan, termasuk penyakit seperti influenza (ILI), jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan persampelan prapembedahan serta kemasukan ke wad.

Malina berkata, berdasarkan pola tingkah laku masyarakat pada Disember tahun lalu, jangkitan COVID-19 dikhuatiri melonjak semula apabila rentas negeri dibenarkan, sekali gus langkah melindungi golongan rentan perlu diberi keutamaan sebelum ia dibenarkan.

"Pada Disember tahun lalu, pelanggaran SOP amat ketara apabila rentas negeri dibenarkan dan jika ia berulang, Malaysia berpotensi berdepan gelombang keempat COVID-19," katanya.

Sementara itu, pakar dasar kesihatan awam, Dr Khor Swee Kheng, berkata KKM disaran turut mengambil kira kadar kes positif berbanding jumlah saringan yang dilakukan yang perlu berada di bawah lima peratus mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berpandangan, ia akan melengkapkan indikator dalam penilaian risiko KKM untuk memutuskan sebarang perkara, termasuk sama ada membenarkan rentas negeri atau sebaliknya.

"Enam indikator yang diumumkan oleh KKM hari ini hendaklah dialu-alukan oleh rakyat Malaysia kerana ia memberi ketelusan untuk rangka proses membuat keputusan di dalam KKM, dan ia amat penting untuk keputusan yang konsisten dan mudah difahami. Untuk meningkatkan lagi keberkesanan proses ini, semua data itu perlulah diumumkan kepada rakyat Malaysia secara berkala," katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan