SEREMBAN: Dua maut dan tiga yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Jelebu, Batu 4 berhadapan kilang perabot, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata kemalangan berlaku pada jam 8.20 malam membabitkan sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu lelaki berusia 24 tahun bersama empat penumpang lain, dari arah Jalan Pantai menuju ke Seremban.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebuah pikap Toyota Hilux yang dipandu, lelaki berusia 41 tahun bersama seorang penumpang wanita berusia 40 tahun.
"Akibat pelanggaran itu, kesemua mangsa tersepit di dalam kenderaan masing-masing.
"Dua mangsa iaitu pemandu kereta Proton Iswara dan seorang penumpang wanita di bahagian belakang sebelah kiri kenderaan terbabit iaitu ibu mertuanya, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
"Penumpang lain dalam Proton Iswara berkenaan iaitu wanita berusia 29 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang juga isteri dan anak kepada pemandu terbabit, mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan dan kaki," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepala manakala penumpang pula mengalami kecederaan di bahagian kaki.
Mohd Said berkata, kesemua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban bagi menerima rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987
0 Ulasan