Jakarta: Rakyat Indonesia yang menolak vaksin Covid-19 berdepan hukuman denda sehingga lima juta rupiah (sekitar RM1,440) dan tidak akan menerima bantuan sosial.
Perkara itu diputuskan kerajaan Indonesia sebagai amaran kepada penduduknya yang menolak mengambil bahagian dalam program vaksinasi negara.
Kompas melaporkan hukuman denda itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap peraturan baharu yang mewajibkan vaksinasi terhadap jangkitan Covid-19.
Wakil Gabenor Jakarta, Ahmad Riza Patria berkata, pihak berkuasa hanya mematuhi peraturan dan langkah itu adalah jalan terakhir di Jakarta yang menempatkan sekitar satu perempat daripada keseluruhan penduduk negara itu.
"Sekiranya anda enggan divaksin, ada dua perkara akan berlaku iaitu bantuan sosial tidak akan diberikan, (dan) denda," kata Ahmad Riza.
Terkini, Indonesia merekodkan 1.2 juta jangkitan Covid-19 dengan 34,000 kematian.
Kerajaan menjangkakan seramai 181.5 juta daripada 270 juta penduduknya divaksin dalam tempoh 15 bulan di bawah program vaksinasi bermula bulan lalu.
Presiden Indonesia Jokowi pada awal bulan ini menetapkan sesiapa yang menolak vaksin mungkin diketepikan daripada bantuan sosial atau perkhidmatan kerajaan dan kemungkinan diminta membayar denda.
Hukuman itu akan ditentukan agensi kesihatan daerah atau kerajaan tempatan.
"Ini langkah dan usaha terakhir kami untuk mendorong penyertaan orang ramai. Sasaran 181.5 juta orang adalah sangat besar," kata pegawai kementerian kesihatan Siti Nadia Tarmizi.
Post a Comment