KUALA KANGSAR: Suasana hiba menyelubungi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, di sini apabila van jenazah yang membawa jasad bapa kepada seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki perkarangan sekolah itu, hari ini.
Guru bimbingan dan kaunseling sekolah itu, Badariah Mohd Mohaidin sempat merakamkan detik sedih pelajar berkenaan, Muhammad Haikal Iskandar Zamry, 18, diberi kesempatan menatap wajah jenazah bapanya buat kali terakhir yang tular di media sosial.
Badariah berkata, jenazah bapa Muhammad Haikal Iskandar dibawa ke sekolah atas cadangan ibunya memandangkan peperiksaan kertas mata pelajaran Sejarah yang dihadapi tidak memungkinkan pelajar terbabit menatap jenazah bapanya itu.
Katanya, bapa pelajar itu pada mulanya koma ketika dirawat di Hospital Taiping sejak kelmarin, akibat komplikasi buah pinggang, hati selain jangkitan kuman dalam darah namun pelajar terbabit tidak berpeluang menziarahi arwah disebabkan prosedur operasi standard (SOP) pandemik COVID-19.
"Arwah meninggal dunia semalam namun baru hari ini jenazah dibenarkan keluar dari hospital untuk dikebumikan. Bagaimanapun Haikal (Muhammad Haikal Iskandar) tetap ingin menduduki kertas peperiksaan hari ini walaupun ayahnya sudah tiada.
"Ketibaan van jenazah ke sekolah sememangnya untuk beri peluang kepada Haikal menatap wajah arwah buat kali terakhir memandangkan peperiksaan yang didudukinya sehingga petang.
"Jika arwah balik rumah untuk menghadiri pengebumian ayahnya memang tidak sempat, malah Haikal terlewat 20 minit berbanding calon lain yang sudah masuk menduduki kertas Sejarah 2 ketika menghabiskan masa menatap arwah bapanya itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya lagi, sebelum ketibaan van jenazah itu, Haikal ditenangkan oleh guru yang melihat dia menangis tanpa henti pada waktu rehat selain menyediakan bilik khas bagi dia bertenang dan melepaskan emosinya yang tidak begitu stabil.
Beliau berkata, Haikal yang mengikuti aliran Sains Kemanusiaan adalah anak sulung dari tiga beradik dengan latar belakang keluarganya adalah dari keluarga kurang berkemampuan.
0 Ulasan