Seorang penyelia tapak sebuah syarikat industri minyak dan gas di sini menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam sehingga mengalami kerugian berjumlah RM40,000 dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat (5 Februari 2021).
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berumur 38 tahun telah membuat laporan polis pada Sabtu (6 Februari 2021).
BACA JUGA WANITA SECARA TIDAK LANSUNG BUKAN BERAGAMA ISLAM
Katanya, mangsa dihubungi oleh seorang wanita mendakwa dari pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) pada 5 Februari yang memberitahu mangsa mempunyai tunggakan bayaran cukai sebanyak RM38,600.90 yang didaftarkan atas nama mangsa.
"(Talian) Mangsa seterusnya disambung oleh sindiket Macau Scam kepada seorang individu yang menyamar sebagai anggota polis dan memberitahu mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa panik dan cemas dengan panggilan tersebut sehingga mengikut arahan yang diberikan oleh individu terbabit dalam telefon.
"Mangsa diarahkan oleh sindiket untuk mendaftar di My BNM melalui pautan yang disediakan oleh sindiket dan mangsa telah memasukkan maklumat akaun bank CIMB, Public Bank, Tabung Haji dan ASNB miliknya.
"Seterusnya mangsa diarahkan membuat pindahan wang dari akaun Tabung Haji ke akaun CIMB Bank dan dari akaun ASNB ke akaun Public Bank milik mangsa," katanya.
Ujarnya, pada keesokan hari, mangsa membuat semakan baki wang di dua akaun bank miliknya mendapati wang yang dipindahkan itu telah hilang.
"Mangsa menghubungi pihak bank dan dijelaskan oleh pihak bank bahawa terdapat beberapa transaksi pindahan wang yang dilakukan oleh sindiket ke beberapa akaun lain berjumlah RM40,000.00," katanya.
Justeru katanya, polis Bintulu sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak sesekali mendedahkan maklumat perbankan atau maklumat kewangan kepada orang yang tidak dikenali yang menghubungi melalui telefon.
"Pihak polis atau jabatan dan mana-mana agensi kerajaan tidak pernah meminta orang ramai memasukkan wang ke akaun mana-mana individu untuk menyelesaikan sesuatu kes. Hubungi atau rujuk balai polis yang berhampiran dengan jika anda was-was," katanya.

Post a Comment