BEIJING: Letupan lombong emas yang mengorbankan 10 orang dan seorang hilang di timur China disebabkan oleh penyimpanan dan penggunaan bahan letupan secara haram serta operasi yang tidak betul, lapor media negara itu semalam.
Empat puluh lima orang, termasuk 28 pegawai kerajaan, sudah dipertanggungjawabkan atas insiden pada 10 Januari lalu di lombong Hushan, wilayah Shandong, di mana sekumpulan pelombong terperangkap di lombong bawah tanah selama kira-kira dua minggu.
Seramai 11 lelaki dari kumpulan 22 pelombong berjaya diselamatkan dalam operasi menyelamat yang dramatik, di mana mereka bergantung kepada makanan dan ubat-ubatan yang dihantar melalui saluran yang digerudi oleh pasukan penyelamat.
Sementara itu, seorang lagi pelombong gagal ditemui dan 10 yang lain terkorban.
Setiausaha Parti Komunis tempatan dan Datuk Bandar dipecat kerana lewat 30 jam melaporkan kemalangan itu.
Stesen penyiaran negara CCTV melaporkan bahawa siasatan mendapati penyebab letupan itu adalah penyimpanan dan penggunaan bahan letupan secara haram, serta kerja yang tidak betul.
Kerugian ditaksir berjumlah lebih 68 juta yuan (RM42.44 juta), sementara syarikat Shandong Wucailong Investment dan Qixia city dianggap terbabit dalam kelewatan melaporkan dan menyembunyikan maklumat.
Peguam syarikat adalah antara 15 orang yang disiasat atas perlakuan jenayah, sementara 28 pegawai diberi hukuman pentadbiran dan ditangani secara dalaman. - AFP
0 Ulasan