Mahkamah Rayuan di Australia mengekalkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang wanita Malaysia yang cuba memeras ugut sepasang suami isteri dengan mengancam memadamkan gambar anak perempuan mereka yang telah meninggal dunia.
Tertuduh, Siti Kamal, 26 dijatuhkan hukuman tahun lalu setelah mengaku bersalah atas tuduhan itu, namun merayu hukuman diringankan.
Menurut saluran televisyen Australia ABC News hari ini, Ketua Hakim Anne Ferguson dan Hakim Stephen McLeish tidak setuju dengan rayuan berkenaan dengan menyatakan hukuman tersebut adalah setimpal kesalahannya.
Menurut laporan itu, pasangan Jay dan Deanne Windross merayu orang ramai bagi meminta pertolongan setelah Deanne kehilangan telefon bimbitnya yang menyimpan ribuan foto anak perempuan mereka yang berusia 11 bulan, Amiyah.
Siti berpura-pura memiliki telefon berkenaan dan mengugut untuk memadamkan gambar-gambar berkenaan sekiranya dia tidak dibayar AU$ 1,000 (RM3,224).
Foto-foto itu dirakam pada jam-jam terakhir Amiyah sebelum meninggal dunia akibat penyakit berkaitan genetik di Hospital Kanak-kanak Monash.
0 Ulasan