CETUS PERGADUHAN, ENAM LELAKI DITAHAN BERSAMA PARANG



BEAUFORT: Akibat rasa tidak puas hati, sekumpulan lelaki mencetuskan pergaduhan hingga menyebabkan kecederaan terhadap dua lelaki lain di sebuah restoran mamak, di sini semalam.


Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Azmir Abd Razak berkata, kesemua enam lelaki berbangsa Murut dan India itu ditangkap ketika sedang bergaduh dengan menggunakan senjata tajam kira-kira 11.30 malam, semalam.


Kesemua lelaki yang ditangkap berusia antara 29 hingga 48 tahun.


Turut dirampas adalah empat bilah parang, satu tali pinggang berkepala besi, sebilah kapak kayu, sebuah monitor dan dekoder kamera litar tertutup (CCTV).


Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek datang membeli dua karton minuman keras di restoran tersebut dan kemudian berlaku pertengkaran mulut antara suspek dan pemilik restoran yang berbangsa India.

Kemudian suspek bersama tiga rakannya keluar meninggalkan restoran dengan memberi amaran untuk datang semula bersama rakan-rakan mereka.


Berikutan itu, seorang pengadu, yang juga pekerja restoran datang membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya dan keselamatan pemilik restoran tersebut.


Setelah menerima laporan, pasukan polis kemudian mengikut pengadu ke lokasi kejadian.


“Sebaik tiba di restoran tersebut, terdapat sekumpulan orang sedang berkumpul dan bergaduh di restoran tersebut. Pihak polis bertindak meleraikan pergaduhan tersebut.


“Pengadu yang turut sama meleraikan pergaduhan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lutut kanan. Pengadu kemudian diminta mendapatkan rawatan di Hospital Beaufort,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Azmir berkata, siasatan lanjutt di tempat kejadian mendapati restoran tersebut turut menjual minuman keras untuk pelanggan. Restoran ini beroperasi sehingga 12 tengah malam dan dilengkapi dengan CCTV.


Katanya, siasatan di tempat kehadian juga mendapati pergaduhan bermula dari dalam restoran sehingga keluar restoran berdasarkan kesan darah yang banyak di dalam dan luar restoran tersebut.

Catat Ulasan

0 Ulasan