Kelonggaran kepada industri kreatif mulai 9 September

 FOTO HIASAN.

Kuala Lumpur: Semua penggiat industri kreatif yang lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 9 September ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu membabitkan beberapa aktiviti termasuk pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.

"Ia turut membabitkan penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio.

"Selain itu, penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang lengkap vaksin; 'indoor' busking kepada individu yang lengkap vaksin serta persembahan di lounge hotel kepada individu yang lengkap vaksin turut dibenarkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, aktiviti panggung wayang kepada individu yang lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam turut dibenarkan.

"Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) turut dibenarkan dengan penonton yang lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis.

"Selain itu, aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dibenarkan dengan pengunjung yang lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30 peratus di ruang premis," katanya.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada 2 September lalu.

"Kerajaan melalui PPN bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif yang diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih satu juta penggiat, artis dan pekerja.

"Kelonggaran ini juga bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif," katanya.

Menurutnya, persetujuan untuk memberi kelonggaran itu tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis dibenarkan.

"Kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri sudah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau mencapai tahap imuniti kelompok.

"Industri kreatif menyumbang sebanyak 2 peratus atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019," katanya.

Ismail Sabri berkata, selain membolehkan lebih satu juta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran itu juga dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Ia sekali gus menggerakkan kembali semua inisiatif serta program yang direncanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA).

"Keputusan ini juga adalah antara usaha berterusan kerajaan yang prihatin untuk merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif," katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak yang terbabit dalam pembukaan sektor itu supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober nanti.

"Insya Allah kerajaan akan sentiasa komited untuk mengambil pendekatan terbaik yang mampu menjamin pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.


Sumber : Hmetro

Catat Ulasan

0 Ulasan