Tampin: Bayi 16 bulan yang didera ibu bapanya di Felda Jalor Air Kuning Selatan, di sini, berada dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan keluar dari wad.
Difahamkan, bayi berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.
Anda Mungkin Berminat :
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, bayi itu dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah, untuk rawatan lanjut dan diberikan bantuan pernafasan selepas mengalami sesak nafas pada 25 Ogos lalu.
"Mangsa sudah berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan keluar dari hospital semalam.
"Dia sudah diserahkan kepada pihak JKM yang mengambilnya di hospital semalam sebelum ditempatkan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Seremban," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, ibu mangsa yang berusia 17 tahun dan bapanya berusia 23 tahun akan dituduh di Mahkamah Tampin esok.
Harian Metro pada 3 September lalu melaporkan seorang bayi bukan saja ditumbuk di muka malah dicucuh puntung rokok.
Selain itu, terdapat juga kesan ditekap dengan seterika pada badan bayi lelaki berkenaan.
Mangsa yang mengalami sesak nafas dibawa ke klinik kesihatan berdekatan sebelum doktor yang merawatnya membuat laporan polis.
Susulan itu, ibu bapa mangsa ditahan polis pada 25 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak.
Sumber : hmetro
0 Ulasan