Pastinya ramai dalam kalangan kita pernah membaca kisah bagaimana seseorang mendapat hidayah dan kemudiannya memeluk Islam. Sudah tentu banyak iktibar dapat dipelajari daripadanya. Islam Nomichi kali ini ingin berkongsi kisah keberanian seorang wanita Jepun setelah memeluk Islam.
Bermula perkenalan bersama penulis hanya melalui laman sosial Facebook, siapa sangka akhirnya membawa pertemuan ukhuwah seterusnya menarik gadis bernama Chiharu Nur Nadira ke jalan kebenaran. Semasa berhubung dalam Facebook, dia mengakui Islam adalah agama yang benar dan telah beberapa kali menjejak kaki ke masjid untuk mempelajari Islam. Walau bagaimanapun, taufik Allah masih belum sampai untuknya memeluk Islam.
Siapa sangka, pertemuan untuk mendalami Islam, hanya dua sesi kelas pengajian tadabbur al-Quran, surah al-Fatihah bersama penulis menjentik keyakinan hatinya untuk memeluk Islam. Firman Allah SWT menerusi mukjizat agung al-Quran membuka pintu hidayah seterusnya merubah pendiriannya untuk memeluk Islam.
Kebiasaannya, walaupun sudah mengucapkan syahadah dan memeluk Islam, namun rata-rata iman saudara baharu masih nipis. Lazimnya, mereka akan takut untuk mendedahkan diri setelah bergelar Muslim kerana bimbang diketahui umum.
Majoritinya akan menyembunyikan status itu daripada keluarga dan rakan-rakan dan hanya ‘menjadi’ Muslim apabila bersendirian atau ke masjid. Sehinggalah kukuh iman, barulah mereka berani mengatakan diri telah Muslim dan seterusnya memakai hijab.
Namun, hal ini berbeza dengan Chiharu. Sejak hari pertama mengucapkan kalimah syahadah, dia dengan yakin mempromosikan Islam secara terbuka dan terus menerus. Menariknya, dia dengan berani memakai tudung di khalayak ramai dan menukar status Facebook daripada bukan Muslim kepada Muslim.
Chiharu Nur Nadira adalah nama yang kami berikan kepadanya ketika memeluk Islam di Osaka Islamic Center. Pada hari itu, dia berpeluang mengucap kalimah syahadah sebanyak tiga kali iaitu yang pertama bersama kami lalu bersama golongan Muslimah dan ketiga di hadapan sebuah stesen televisyen tempatan Jepun.
Post a Comment