'Dijemput' ajal atas pokok kelapa

 

Padang Besar: Seorang lelaki ditemukan maut di atas pokok kelapa ketika sedang cuba memetik buah di Titi Tinggi, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifuddin Aslin Abbas berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5.23 petang di Kampung Baru Batu 18, di sini, apabila mangsa berusia 40 tahun itu pengsan di atas pokok kelapa itu.

"Kita menerima maklumat berhubung mangsa yang pengsan di atas pokok kelapa ketika hendak mengambil buah kelapa muda.

"Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar dipanggil untuk membantu menurunkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, mangsa berjaya dibawa turun anggota bomba sekitar jam 6.30 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik dari Klinik Kesihatan Padang Besar.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat dan disahkan kematiannya adalah disebabkan serangan jantung.

"Hasil siasatan polis mendapati mangsa bekerja mengambil upah memanjat pokok kelapa untuk mengambil buah kelapa muda. Tiada sebarang unsur jenayah dalam insiden itu," katanya turut memaklumkan, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Catat Ulasan

0 Ulasan