Pada usia 13 tahun, bekas perenang kebangsaan Cindy Ong
tidak dapat bersuara membantah gangguan dan serangan seksual yang
didakwa dilakukan oleh jurulatih pasukan Malaysia.
Ia
mengambil masa hampir 25 tahun untuk Ong, kini berusia 37 tahun dan ibu
kepada tiga cahaya mata itu untuk membuka lembaran silamnya baru-baru
ini
Bercakap sebagai ahli panel dalam perbincangan dalam talian
yang dihoskan oleh biro perundangan Pemuda PKR, katanya sekarang dia
memahami bagaimana usaha untuk melakukan pengantunan seksual terhadap
mangsa akan dimulai pada usia muda, dan itu dapat meningkat
bertahun-tahun kemudian.
"Dia melakukan grooming (pengantunan)
terhadap saya. Bahwa dia berminat dengan saya. Pada usia 13 tahun dan
saya ingat ini dengan jelas, dia berkata, 'Saya akan tunggu kamu'.
"Saya merasa agak pelik walaupun pada waktu itu berusia 13 tahun. Sekarang memikirkannya, wow!
"Betapa sakitnya anda untuk memberitahu seorang gadis berusia 13 tahun 'Saya akan menunggu kamu membesar...'"
Ong
kemudian melanjutkan pelajarannya di Amerika Syarikat tetapi tetap
berhubungan dengan komuniti sukan renang tempatan, termasuklah jurulatih
itu.

Pada sesi hari ini, dia mendedahkan satu lagi kejadian yang
didakwa melibatkan jurulatih sama, kata kali ini ketia dia berusia awal
20an setelah dia kembali dari AS.
"Atas sebab-sebab yang saya
tidak ingat, saya rasa dia memberitahu saya bahawa dia ingin menunjukkan
sesuatu di rumahnya [...] entah bagaimana saya akhirnya sampai di
apartmennya.
"Dia mandi, keluar dengan bertuala, memegang
tangan saya dan menyuruh saya menyentuhnya. Sudah pasti dia cuba
memperkosa saya," kata Ong.
"Saya tidak pernah memberitahu sesiapapun mengenai perkara ini kerana saya tidak dapat melakukannya.
"Tidak ketika saya berusia 20-an, tidak ketika saya berusia 13 ... terutamanya ketika saya berusia 13 tahun.
"Dan
kemudian saya menerima serangan daripada ramai orang yang bertanya
mengapa dulu anda tidak memberitahu sesiapa," katanya lagi.
Ong mengingatkan pengkritiknya topik gangguan seksual dilihat sebagai pantang larang dalam masyarakat.
Bukan
itu sahaja, kata Ong terdapat juga kesedaran bahawa tuduhan sebegitu
terhadap jurulatih itu sudah menjadi rahsia umum tetapi tidak ada
tindakan yang diambil untuk menghentikannya.
'Ubah sikap masyarakat tak acuh'
Ketua
biro undang-undang PKR Fadhlina Siddiq berkata aktivis perlu fokus
untuk mengubah sikap tidak acuh masyarakat yang memungkinkan kejadian
keganasan rumah tangga, gangguan seksual dan serangan seksual terus
berlaku.
Dia berkata ini disamping menghapuskan budaya yang mengakar di sebalik isu jenaka rogol dan sumbaleweng seks secara keseluruhan.
Katanya,
perkara tersebut termasuklah komen media sosial yang ditujukan kepada
Ong dan orang lain yang bercakap mengenai pengalaman mereka sebagai
mangsa cabul dan gangguan seksual.
"Kita mesti membuat naratif
baru yang menjunjung tinggi martabat manusia," kata Fadhlina, seorang
aktivis dan peguam syariah secara profesional.
"Kita mesti tahu bila masa harus menjadi pengamat yang aktif. Untuk melaporkan tindakan seperti itu ketika kita mengetahuinya.
"Apa yang berlaku hari ini, kita tidak mempunyai dorongan untuk bersuara ketika perkara seperti itu terjadi," tambahnya.
Menangani isu gangguan seksual dalam industri sukan, Fadhlina (gambar, atas)
berkata ibu bapa mempunyai peranan aktif dalam mengenal pasti dan
menetapkan batasan fizikal, sosial dan seksual, terutama bagi atlet
muda.
Katanya, langkah itu akan membantu mencegah percubaan
pengantunan seksual, atau hubungan yang tidak sesuai di luar proses
latihan.
Ahli panel ketiga majlis forum hari ini yang dihoskan
laman Facebook Pemuda PKR iaitu pakar undang-undang sukan Richard Wee
berkata insiden gangguan seksual juga berlaku kepada atlet e-sukan,
terutama pemain wanita.
Ong
sebelum ini mengakui keberaniannya untuk akhirnya bersuara
sebahagiannya kerana mendapat inspirasi daripada pelajar berusia 17
tahun Ain Husniza Saiful Nizam yang menjadi berita utama selepas video
TikToknya mendedahkan seorang guru lelaki didakwa membuat jenaka rogol
ketika mengajar di kelas.
"Saya sendiri sebagai seorang
ibu kepada tiga anak [...] Saya mahu mereka selamat, itu adalah
tanggungjawab yang sangat berat terhadap ibu bapa.
"Kami tidak suka perkara sebegini berlaku kepada anak-anak kami," katanya.
Menjawab
pendedahan awal Ong, begitu juga beberapa atlet kebangsaan lain,
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
sebelum ini berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang mencemarkan imej negara.
Post a Comment