PERJANJIAN ANTARA YAHUDI DAN ALLAH

 


Sepanjang saya membaca al-Quran berserta terjemahannya, saya dapati ayat-ayat surah al-Ma‘idah banyak menyentuh tentang orang Yahudi. Seawal ayat ke-12 Allah mula sudah menyentuh tentang sumpah janji yang mereka ikrarkan untuk Allah namun mereka mengingkarinya. Mohon ulasan ustaz. Jawapan

Sebenarnya Allah merakam peristiwa perjanjian antara Yahudi dengan Allah pada banyak tempat dalam al-Quran. Kebiasaannya ia dirakam dalam surah-surah Madaniyyah iaitu surah yang turun selepas hijrah Rasulullah ke Madinah. .

Antaranya Firman Allah s.w.t. mafhumnya: “Dan(ingatlah) ketika Kami memeterai perjanjian setia dengan kamu, dan Kami angkat Bukit Tursina ke atas kamu (sambil Kami berfirman): ‘Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah!’

“Mereka menjawab: ‘Kami dengar dan kami ingkar!’ Dan perbuatan menyembah anak lembu itu telah mesra dan sebati dalam hati mereka dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Alangkah buruknya apa yang diperintahkan oleh iman kamu itu jika betul kamu orang yang beriman.’” (Surah al- Baqarah: 93)

Oleh kerana kekerasan hati orang Yahudi, mereka tidak merasakan keagungan perintah Nabi Musa sehingga mereka sanggup membangkang dan menderhaka apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa

Lantaran itu mereka diberikan berbagai-bagai peringatan sehinggakan Allah mengangkat Bukit Tursina di atas kepala mereka sebagai ancaman agar mereka menerima dan mengamalkan perjanjian yang telah dimeterai dengan Allah.

Antara rakaman perjanjian yang lain pula adalah tentang hari Sabtu sebagai hari ibadah dan cuti daripada menangkap ikan tetapi mereka memungkirinya. Firman Allah mafhumnya: “Dan bertanyalah kepada mereka mengenai (penduduk) Bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu iaitu ketika datang kepada mereka ikan-ikan yang kelihatan timbul di permukaan air, sedangkan pada hari-hari yang lain ikan-ikan itu tidak pula dating kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka dengan cubaan itu kerana mereka sentiasa berlaku fasik.” (Surah al-A‘raf : 163) Wallahu a‘lam.


Post a Comment

Previous Post Next Post