Masih Ramai Lagi Belum Mendaftar Bantuan GKP



 PUTRAJAYA: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro perlu memanfaatkan peluang yang diberikan kerajaan termasuklah Geran Khas Prihatin 3.0 (GKP 3.0) yang bertujuan untuk membantu meningkatkan kembali perniagaan pasca pandemik COVID-19.

 

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku Menteri Kewangan berkata, masih ramai lagi peniaga mikro dan PKS belum mendaftar untuk mendapatkan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP} walaupun telah bermula sejak tahun lalu lagi, dan kini memasuki siri ketiga.

 

"Ketika lawatan turun padang Kementerian Kewangan (MOF) baru-baru ini, ramai yang mengunjungi kaunter sementara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai GKP 3.0.

 

"Saya ingin maklumkan, permohonan GKP 3.0 masih dibuka sehingga 15 April 2021. Mereka yang belum mendaftar bolehlah berbuat demikian segera," katanya.

 

Menteri Kewangan berkata, selain GKP 3.0, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga turut mengumumkan yang nilai ambang keterhutangan bagi syarikat yang dinaikkan daripada jumlah RM10,000 kepada RM50,000, akan diteruskan berkuat kuasa 01 April lalu.

 

Beliau berkata, ini juga merupakan berita gembira bagi peniaga seiring dengan inisiatif yang kesembilan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi mengurangkan beban syarikat dan memperkasa koperasi.

 

Inisiatif ini, katanya adalah susulan keadaan ekonomi global dan dalam negara yang mungkin akan mengambil masa lebih lama untuk pulih akibat pandemik COVID-19.

 

"Sebelum ini, inisiatif ini adalah langkah sementara bermula dari 23 April 2020 sehingga 31 Mac 2021 bagi memberikan perlindungan kepada syarikat dengan nilai ambang keterhutangan yang lebih tinggi daripada nilai sedia ada iaitu RM10,000 agar risiko syarikat dikenakan tindakan penggulungan dapat dikurangkan.

 

"Kesan pelaksanaan inisiatif itu menyaksikan hanya 665 petisyen penggulungan diserah simpan ke SSM bagi tempoh April hingga Disember lalu berbanding 1,760 pada 2019 dan 1,533 tahun sebelumnya," katanya.

 

Tengku Zafrul berkata, jumlah petisyen penggulungan dijangka dapat terus dikurangkan dengan peningkatan nilai ambang keterhutangan syarikat.

 

Menteri Kewangan berkata, syarikat juga mampu meneruskan urusan perniagaan dengan yakin dan masih mematuhi undang-undang mengikut dasar pelepasan kekal nilai amaun keterhutangan yang diberikan.

 

Sumber: bharian

Post a Comment

Previous Post Next Post