Lapan anggota polis sudah dibuang

 Ayob Khan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

JOHOR BAHRU: Polis tidak akan bertolak ansur terhadap ketua polis daerah sekiranya mereka melindungi anggota dan pegawai yang terbabit dalam kegiatan jenayah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap anggota dan pegawai polis di satu daerah yang sudah lama melakukan pemerasan, selepas mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Katanya, pihaknya sedang menyiasat sama ada sebelum ini ada laporan dibuat kepada ketua polis daerah lain tetapi tidak ada tindakan diambil.

"Sekiranya ada laporan dibuat kepada ketua polis daerah atau kepada mana-mana ketua jabatan yang tidak diambil tindakan, maklumkan kepada saya. Saya sendiri akan ambil tindakan kepada mereka.

"Saya menyeru kepada masyarakat untuk terus salur maklumat kepada saya. Saya akan ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Johor, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, lapan anggota polis di Johor dibuang kerja atas kesalahan termasuk jenayah dan dadah, sejak awal tahun ini.

Katanya, seramai 12 anggota lagi akan dikenakan tindakan buang kerja pada minggu depan.

"Dalam tempoh yang sama, seramai 59 orang warga polis di Johor membabitkan empat pegawai kanan dan 55 anggota ditahan kerja, manakala 11 anggota digantung kerja.

"Kita jangka lebih ramai lagi akan dibuang kerja pada tahun ini melepasi jumlah yang dikenakan tindakan sepanjang tahun lalu, membabitkan seorang pegawai awam dan 45 anggota.

"Ini bukanlah satu kebanggaan apabila saya katakan tindakan buang kerja membabitkan (Ibu Pejabat Polis) Kontinjen Johor yang tertinggi dalam negara.

"Tapi ini membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai yang bermasalah dan menunjukkan ketegasan kita dalam mengambil tindakan dalaman tanpa melibatkan institusi luar," katanya.

Ayob Khan berkata, banyak kes dadah membabitkan anggota dan pegawai polis dan mereka ini tidak akan diberikan peluang kedua, sebaliknya akan terus dibuang kerja.

"Mereka ini tidak perlu diberi peluang kedua pun. Kalau kita dapati mereka ini positif, kita akan buang ... menggunakan kaedah yang paling cepat dengan membuka kertas siasatan terhadap mereka.

"Ramai lagi yang nak jadi polis. Yang tak guna ini kita akan buang cepat. Jangan dibiarkan hingga menjadi barah," ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post