Tujuh maut kebakaran di kem pelarian Rohingya

 Kebakaran di kem pelarian Rohingya yang mengakibatkan tujuh orang terbunuh dan lebih 50,000 orang melarikan diri. - Foto EPA/UNHCR BANGLADESH

COX'S BAZAR: Tujuh terbunuh manakala lebih 50,000 warga Rohingya melarikan diri, selepas sejumlah pondok di kem pelarian etnik itu di tenggara Bangladesh terbakar, semalam.

Difahamkan, tiga kanak-kanak termasuk dua wanita terbunuh dalam kejadian kali ketiga yang berlaku dalam tempoh empat hari di kem pelarian berkenaan.

Hampir satu juta penduduk minoriti Muslim itu dari Myanmar kebanyakannya melarikan diri daripada operasi tentera di negara itu tinggal bersesak-sesak di kem pelarian berkenaan.

Beberapa pegawai berkata, kebakaran itu bermula di satu daripada 34 kem yang terletak dalam kawasan seluas kira-kira 3,237 hektar.

Ia kemudian merebak ke tiga lagi kem sehingga menyebabkan pelarian terpaksa melarikan diri dan membawa barangan yang sempat diselamatkan.

Asap tebal dapat dilihat daripada pondok itu menerusi video yang dikongsikan di media sosial ketika ratusan anggota bomba dan pekerja bantuan sukarelawan berusaha memadamkan kebakaran serta menyelamatkan pelarian ke tempat selamat.

"Ia adalah kebakaran yang besar. Sekurang-kurangnya 50,000 orang melarikan diri," kata seorang pentadbir Cox's Bazar, Mamunur Rashid kepada AFP.

Seorang pegawai polis, Inspektor, Gazi Salahuddin berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan tengah malam tadi.

"Kita terima laporan tujuh orang terbunuh dalam kebakaran berkenaan dan mayat mereka berada di dalam kem tersebut," katanya.

Beliau berkata, polis tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga mayat-mayat mangsa kebakaran ditemui.

Setakat ini, punca kebakaran masih belum diketahui.

Beberapa pegawai memberitahu AFP, satu penilaian awal mendapati lebih 900 pondok yang menjadi tempat tinggal untuk 7,400 pelarian itu terbakar.

Seorang etnik Rohingya, Mohammad Yasin yang membantu anggota bomba memadamkan kebakaran berkata, kebakaran lebih 10 jam dan yang paling teruk sejak 2017.

Dalam pada itu, seorang anggota sukarela pertubuhan kanak-kanak, Tayeba Begum berkata, orang ramai menjerit dan berlari manakala kanak-kanak turut menangis serta berlari bertempiaran dalam kejadian itu.

Ia adalah kebakaran ketiga di kem tersebut dalam tempoh empat hari, kata seorang pegawai bomba, Sikder kepada AFP.

Beliau berkata, dua kebakaran berasingan di kem itu Jumaat lalu sekali gus memusnahkan sejumlah pondok.

Dua kebakaran besar turut berlaku di kem itu pada Januari lalu menyebabkan ribuan pelarian hilang tempat tinggal dan empat buat sekolah pertubuhan Dana Kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut terbakar. - AFP

Catat Ulasan

0 Ulasan