Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP): Daftar SSM Percuma Untuk Golongan Ibu Tunggal, Belia & Pelajar
Info Bantuan Rakyat Malaysia : http://t.me/kerajaanprihatin
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah melancarkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) dengan memperluaskan tawaran di bawah Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) kepada golongan belia dan ibu tunggal pada 23 Disember 2020.
Pelancaran ini adalah lanjutan daripada pengumuman yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi di sidang Dewan Rakyat pada 15 Disember 2020.
YB Dato Sri Alexander berkata di bawah SPPP, belia dan ibu tunggal dari golongan B40 berpeluang untuk mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma di SSM.
SSM menjangkakan skim ini akan memanfaatkan seramai 7 juta golongan belia dan 150,000 ibu tunggal dari golongan B40 untuk menceburi bidang perniagaan.
Di sini kami kongsikan maklumat lanjut tentang Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) khusus untuk ibu tunggal, belia B40 dan pelajar.
Apakah Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) SSM?
Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) adalah manfaat skim pendaftaran SSM percuma yang pertama kalinya dibentangkan melalui sidang di Dewan Rakyat pada 15 Disember 2020.
Ia bertujuan membantu golongan belia dan ibu tunggal untuk menceburi bidang perniagaan bagi menjana pendapatan tambahan yang dapat menampung kehidupan harian seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan sektor perniagaan dan ekonomi negara.
Syarat Kelayakan
Perincian kategori yang layak untuk memohon atau daftar SSM percuma melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) adalah seperti berikut:
1) Kategori Belia Golongan B40:
- Berumur 18 hingga 30 tahun;
- Mengikut umur maksima berdasarkan definisi Dasar Belia Malaysia;
- Mempunyai maklumat dalam pangkalan data penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi golongan B40. (Semakan boleh dibuat di https://bpn.hasil.gov.my/); dan
- Tiada rekod entiti perniagaan yang masih aktif di SSM.
Selain golongan beliau, kategori pelajar dan ibu tunggal juga kini boleh daftar SSM percuma dengan syarat berikut:
2) Kategori Ibu Tunggal Golongan B40:
- Berumur 18 tahun dan ke atas;
- Mengikut syarat seperti yang didefinisikan sebagai ibu tunggal oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM);
- Mempunyai maklumat dalam pangkalan data penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi golongan B40. (Semakan boleh dibuat di https://bpn.hasil.gov.my/); dan
- Tiada rekod entiti perniagaan yang masih aktif di SSM.
3) Kategori Pelajar:
- Berumur 18 tahun dan ke atas;
- Pengajian belajar/kursus secara sepenuh masa di mana-mana IPTA/ IPTS/ Politeknik/ Kolej/ Institut Kemahiran/ Pusat Kemahiran di dalam negara; dan
- Tiada rekod entiti perniagaan yang masih aktif di SSM.
Cara Daftar SSM Percuma Melalui SPPP
Permohonan pendaftaran perniagaan boleh dibuat melalui Portal EzBiz Online di pautan ezbiz.ssm.com.my.
Tarikh permohonan pendaftaran dibuka mulai 22 Disember 2020.
Sila rujuk cara mendaftar syarikat dengan lengkap melalui artikel ini: Cara Daftar SSM & Renew Lesen Syarikat Online Melalui Portal EzBiz
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut mengenai cara daftar SSM percuma melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), sila hubungi Pusat Panggilan SSM melalui talian 03-7721 4000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my.
Rujuk kenyataan rasmi SSM: Klik Ini
0 Ulasan