Ibu bapa perlu pantau aktiviti dalam talian anak



Belum reda ancaman penggodaman kumpulan 'Anonymous Malaysia', kita dikejutkan berita tular pelajar nakal menonton video lucah ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sedang berlangsung.

Ini bukan berlaku di Barat, tetapi di negara ini. Masyarakat perlu sedar insiden ini bukan isu baharu. Kita banyak melihat remaja seawal sekolah rendah terbabit dengan ketagihan pornografi. Ada terjebak dengan seks bawah umur dan pelbagai kegiatan tidak bermoral.

Turut mengejutkan insiden sebegini dilaporkan berlaku di rumah, yang turut mengundang persoalan apakah peranan ibu bapa dalam memantau aktiviti dalam talian anak.

Dari sudut perundangan, undang-undang mengharamkan pornografi sudah lama digubal dan dikuatkuasakan.Seksyen 292 Kanun Keseksaan, umpamanya, membabitkan pembuatan, penghasilan dan pemilikan buku lucah, risalah, lukisan, lukisan, lambang, angka atau mana-mana objek lucah lain.

Larangan ini meliputi menjual, membolehkan mendapat upah, mengedarkan, mempamerkan secara terbuka atau dengan apa-apa cara digunakan untuk mengedar atau untuk tujuan jualan, sewa, pengedaran, pameran awam atau peredaran bahan terbabit.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia melarang penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk membuat, mewujudkan atau meminta-minta, memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam, jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Jika kita imbau semula, Seksyen 3 Akta Komunikasi dan Multimedia dan MSC Bill of Guarantee mengamalkan prinsip tiada penapisan internet di negara ini serta kawalan kendiri.

Sejak lebih 15 tahun lalu, kerajaan mengambil keputusan melaksanakan polisi kawalan kendiri dengan pengguna internet perlu mendisiplinkan diri dengan mengelakkan kandungan digital negatif.

Pelbagai program advokasi dijalankan untuk meluaskan pemahaman masyarakat terhadap kepentingan kawalan kendiri di dunia siber. Dengan pelbagai insiden termasuk murid menonton video lucah ketika PdPR, mungkin memberi petanda polisi kawalan kendiri perlu disemak semula dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Dalam hal PdPR ini, peranan ibu bapa tidak boleh lagi dinafikan memandangkan PdPR berlaku di rumah dan diselia ibu bapa. Ibu bapa perlu cakna dan memantau aktiviti dalam talian anak.

Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai aplikasi seperti Google Family Link for parents. Jika kita tidak mahu internet di negara ini disekat seperti sesetengah negara autokratik, peranan masyarakat terutama ibu bapa yang paling dekat dengan anak perlu dimainkan sebaiknya agar isu sebegini tidak berulang.

Dari segi kawal selia kandungan digital, hanya kandungan dilaporkan melanggar undang-undang Malaysia boleh disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKKM) dari peringkat rangkaian.

Namun, seperti isu penggodaman, kawal selia kandungan di internet turut memberi cabaran besar buat agensi seperti SKMM. Laman web pornografi tumbuh bagaikan cendawan di seluruh dunia.

Usaha menyekat akses laman web sebegini banyak dilakukan. SKMM dilaporkan menyekat ribuan laman web lucah berpangkalan dalam dan luar negara. Namun, usaha sebegini seperti menyiram air di daun keladi kerana terdapat juga teknologi dicipta untuk memintas sekatan seperti penggunaan virtual private network (VPN).

Pada masa ini, masih belum ada kes mahkamah memutuskan penggunaan VPN haram di negara ini. Namun, jika diteliti maksud di sebalik Seksyen 233 terbabit, ada kemungkinan penggunaan VPN turut diharamkan apabila digunakan dengan tujuan tidak wajar serta niat tidak baik.

Pihak berwajib perlu meneliti hal ini agar perundangan sedia ada selari kemajuan teknologi yang berubah setiap hari.

Pastinya, pandemik COVID-19 membuka ruang luas untuk kita mencuba teknik PdPR secara dalam talian sepenuhnya. Hal ini mungkin tidak akan berlaku jika tiada keadaan memaksa.

Risiko kandungan digital negatif tetap ada di dunia maya. Seperti juga di dunia nyata, usaha perlu diperkasa supaya kita bukan sekadar bersandar kepada pengawalan kendiri.

Terdapat guru masih baru dengan suasana PdPR dan isu sebegini boleh memberi persepsi tidak baik terhadap pembelajaran dalam talian.

Usaha ini perlu bermula dari rumah dengan ibu bapa segera mengawal aktiviti dalam talian anak yang masih remaja daripada terjebak dengan perkara negatif.

Pada masa sama, pihak berwajib perlu berusaha mengurangkan pendedahan netizen kepada risiko digital seperti laman web lucah.

Penulis adalah Pensyarah Kanan (Undang-undang Siber) di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Post a Comment

Previous Post Next Post