KOTA KINABALU: Daerah Kuala Penyu bertukar warna daripada Zon Kuning ke Zon Jingga.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan juga merangkap Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun berkata jumlah kes positif baharu COVID-19 setakat 26 Januari 2021 adalah sebanyak 303 kes, menjadikan jumlah kumulatif di Sabah kini adalah sebanyak 47,442 kes.
Daripada 303 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, katanya sebanyak 209 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 54 kes, saringan kluster sedia ada 16 kes, saringan PERKESO 5 kes dan 19 kes adalah dari lain-lain kategori.
Beliau turut mengumumkan bahawa tiada kes kematian direkodkan mahupun kluster baharu dilaporkan.
"Pada hari ini, seramai 403 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 43,209 orang.
"Sejumlah 2,697 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 815 orang di hospital, 1,880 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan dua orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
"Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 92 orang dan 25 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
"Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,112 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 4,592 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara pula kekal 1,100 unit.
"Ini menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 6,804 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 39.64 peratus," terangnya dalam satu kenyataan Laporan Harian Kes Jangkitan COVID-19 pada Selasa.
Selain itu, Masidi berkata, sebanyak 63 Sekatan Jalan Raya (SJR) telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 49,246 buah kenderaan.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 210 buah kenderaan diarah berpatah balik.
"Tiada tangkapan dibuat namun, 31 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19," katanya.
Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKP kini katanya ialah 92.75 peratus dengan peratus tertinggi pada 93.5 peratus yang melibatkan lima daerah iaitu Kota Belud, Tenom, Kudat, Beluran dan Kota Marudu.
Manakala peratus kepatuhan SOP yang terendah adalah pada 92 peratus yang melibatkan enam daerah iaitu Keningau, Sandakan, Semporna, Penampang, Lahad Datu dan Tawau.
0 Ulasan